Malah, pelbagai cadangan dan langkah disyorkan agar UMNO dapat diterima semula oleh rakyat.

Apabila saya baca, didapati semua cadangan dikemukakan adalah logik, bernas, berfakta dan diyakini dapat melonjakkan semula kewibawaan UMNO. Ini termasuk membuat rombakan kepemimpinan dan beri peluang yang lebih besar kepada golongan muda.

Namun, amatlah menyedihkan sehingga kini setiap syor yang disuarakan itu termasuk melalui ruangan Forum Utusan Malaysia ini tiada pemimpin tertinggi UMNO yang hendak memberi maklum balas.

Seolah-olah memperlihatkan bahawa kepemimpinan parti tidak mahu menerima pendapat akar umbi serta cerdik pandai. Juga, seolah-olah kepemimpinan parti takut mereka akan kehilangan kuasa.

Pemimpin datang dan pergi. Janganlah takut untuk serahkan kuasa kepemimpinan kepada orang lain terutama golongan muda. Dalam hal ini, mana lebih penting? Adakah kepemimpinan tertinggi atau parti? Mana lebih penting jawatan tertinggi parti atau rakyat dan negara yang juga melibatkan ahli-ahli akar umbi?

Seharusnya perkara ini kita renungkan. Jangan tunggu di saat akhir. Geraklah sekarang. Buat perubahan sekarang.

Ini termasuk berhemah dalam menjalankan gerakan parti hingga dapat menarik minat rakyat menyertai serta menerima semula UMNO dalam hati mereka.

AHLI AKADEMIK

PWTC