Saya faham apabila sudah benci akan kedengaran suara-suara yang memburuk-burukkan UMNO, sedangkan parti inilah yang meletakkan mereka pada tahap sekarang. Parti inilah yang memberi ruang dan peluang kepada mereka selama ini.

Walaupun telah menerajui parti lain, tidak sepatutnya bekas-bekas pemimpin UMNO ini bertindak memburuk-burukkan UMNO. Lebih mengejutkan lagi mereka mahu UMNO dibubarkan. Sebagai ahli setia parti, kenyataan mereka ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Alangkah baiknya jika masing-masing bersaing secara sihat tanpa perlu menghasut agar UMNO ini dibubarkan. Kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan kepemimpinan yang lain usah gentar dengan kenyataan yang seperti ini.

Saya yakin UMNO mampu bangkit. Bangkit daripada kekalahan dan kekecewaan. Dalam pada itu saya juga amat kesal dan kecewa terhadap mana-mana bekas pemimpin UMNO terutama wakil rakyat yang sanggup keluar parti atas 1,001 alasan.

Bagi saya jika bersifat gentleman letak sahaja jawatan sebagai wakil rakyat dan kemudian adakan semula pilihan raya kecil. Baru adil. Baru buku bertemu ruas. Untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, UMNO dan Barisan Nasional perlu membuat persiapan rapi.

Saya cukup percaya jika kita calonkan semula Mohamad atau Tok Mat di samping gerak kerja jentera berjalan dengan baik, DUN Rantau ini dapat dipertahankan.

HASHIM RAMLI

Sabak Bernam