Kemerdekaan itu sebenarnya adalah satu proses perjuangan yang panjang. Ia bermula dengan kesedaran yang membangkitkan umat, melalui rentetan cabaran perjuangan untuk membebaskan tanah air kita daripada cengkaman kuasa penjajah dan disambung dengan usaha menjaga negara agar tidak kembali ke dalam cengkaman mana-mana kuasa asing.

Selepas 61 tahun kita menerajui negara, kita sibuk membina batu-bata tetapi kita lalai untuk menebas nibong yang kini membesar menjadi hutan di tengah-tengah masyarakat.

Kepedulian tentang pembangunan tamadun kemanusiaan gagal diserlahkan setelah tewas kepada bidikan material yang memamah iman dan budaya.

Pemimpin kita lali dalam khayal pembangunan material dan natijahnya umat hari ini berdepan dengan krisis kemanusiaan bentuk baharu. Hari ini budaya songsang dilayan murni tetapi ajakan iman digolongkan sebagai ekstrimis.

Golongan Islamis berasa sesak, tetapi fanatis liberal mendongak segak. Erti merdeka dirobah menjadi makna kebebasan daripada cara fikir normal, dengan segalanya mahu dilihat liberal.

Umat perlu bangkit dan sedar, bukan melangkah dalam mimpi, bahawa tanah air ini hari ini telah bertukar tuannya.

Walau ada yang perasaan mereka sedang memegang kendali, mereka lupa bahawa tali itu berakhir dihidung dan bukan di tangan.

Umat perlu bangkit mencari obor yang jatuh, bukan menggagau dalam gelap mencari pesalah untuk dihukum. Jangan buang masa dan tenaga untuk menghukum. Berkelahi dalam gelap boleh melukakan rakan seperjuangan.

Bergaduh dalam samar boleh meruntuhkan dinding yang rekah. Bila obor itu dijumpai, barulah kita akan ada suluhan untuk mengatur semula langkah ke hadapan.

Umat perlu bangkit memegang obor. Obor merdeka itu satu. Tangan yang boleh memegangnya hanya satu.

Jika lebih daripada seorang yang memegang obor itu, mereka yang memegang itu tidak boleh bergerak, apa lagi untuk berlari laju. Namun obor itu boleh dipegang bergilir-gilir.

Janganlah berebut memegang obor, kelak umat di belakang akan memijak kepala dan badan para pemegang obor yang tidak dapat bergerak, sedangkan mereka harus terus ke hadapan seiring bersama masa dan zaman.

Umat perlu bangkit semula, mengisi ruang kosong peradaban manusia yang semakin tersisih. Merdeka hanya bererti bila manusia bebas hidup dalam peradaban yang mengagungkan Allah Rabbul Jalil.


DR. MOHD FAUZI SHAFFIE

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati)