Pelaksanaan ujian sebegini sekurang-kurangnya memastikan setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan dapat mengetahui tahap kematangan minda dan emosi masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk dijadikan teman hidup sehingga akhir hayat.

Sekiranya masih ingin meneruskan perkahwinan setelah mengetahui tahap kematangan minda dan emosi, maka terpulanglah kepada mereka.

Cadangan ujian ini juga dilihat penting bagi mengurangkan kadar perceraian yang ada dalam negara kita. Baru–baru ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh ada menyatakan kebimbangannya berhubung dengan kadar kes perceraian yang difailkan oleh pasangan dalam negara kita di atas faktor yang remeh.

Punca perceraian itu sendiri banyak berkait rapat dengan faktor kematangan mental dan emosi pasangan sendiri.

Perceraian adalah satu perkara yang tidak seharusnya berlaku sekiranya terdapat persefahaman dan kematangan yang tinggi dalam kalangan pasangan yang melangsungkan perkahwinan.

Alam rumah tangga terdapat pelbagai dugaan dan cabaran. Sekiranya pasangan tidak memiliki tahap kekuatan minda dan emosi yang sepatutnya, maka agak sukar untuk mereka hidup bahagia serta mempertahankan rumahtangga.

Sekiranya perceraian berlaku, impaknya bukan sahaja terhadap diri pasangan itu sendiri malah akan turut memberi kesan terhadap anak–anak mereka serta seluruh ahli keluarga.

Dalam perceraian, anak-anak akan menjadi mangsa utama sehingga boleh mengganggu jiwa dan perasaan mereka.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan memiliki tahap kematangan mental dan emosi yang sesuai dan bukan hanya memiliki kematangan dari aspek fizikal atau persediaan aspek kewangan.

Ujian tahap kematangan mental dan emosi ini boleh dilakukan oleh pihak berkaitan dengan bidang terbabit seperti kaunselor atau pakar perubatan bersesuaian.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).