Menyedari akan hakikat ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor menjalankan projek kemasyarakatan yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari ini.

Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) menjadi agenda global apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua negara menjelang 2030.

Walaupun banyak inisiatif global dilancarkan, penerapan khususnya pada peringkat akar umbi masih terbatas. Untuk memastikan kejayaan agenda ini, gerakan berasaskan prinsip kesedaran akar umbi atau bawah-atas perlu dilaksanakan.

Lantaran itu, inisiatif di bawah naungan Kelab Enactus UiTM Johor mengorak langkah untuk menjadikan mahasiswa sebagai duta Matlamat Pembangunan Lestari di peringkat akar umbi.

Program ini berjaya memperlihatkan mahasiswa berkolaborasi dengan komuniti tempatan dan agensi kerajaan serta swasta untuk melaksanakan inisiatif khidmat masyarakat dengan projek berlandaskan pemuliharaan alam sekitar.

Dengan kolaborasi di antara Pejabat Pendidikan Daerah Segamat, Khind Starfish Foundation dan beberapa sekolah sekitar Segamat, UiTM berjaya melaksanakan Project for Happiness: The Art & Science of Composting.

Program yang berjaya mendapat geran Khind Starfish Foundation ini berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Palong Timur, SMK Canossian Convent, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nagappa, Sekolah Kebangsaan Canossian Convent. Selain daripada itu, program ini juga berjaya dilaksanakan di perkampungan Orang Asli Bekoh/Asahan.

OSWALD TIMOTHY ADWARD
UiTM Johor