Peranan yang dimainkan oleh UiTM sebagai ‘pengubah nasib’ bangsa Melayu melalui pelajaran dan pengalaman serta pendedahan kepada setiap pelajar tidak boleh dinafikan jasanya.

Cadangan untuk membuka kemasukan ke UiTM untuk kaum lain tidak sewajarnya dilakukan kerana UiTM adalah sebahagian daripada komponen dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak istimewa orang Melayu walaupun tidak dinyata secara jelas.

Sejak sebelum merdeka lagi, walaupun dengan nama lain, fungsi dan peranannya adalah memajukan orang Melayu dalam bidang pelajaran bagi membentuk profesional Melayu yang telah terbukti dari segi hubungan sesama manusia dan penggunaan bahasa Inggeris di pasaran kerja semasa.

Memetik kata-kata, bekas Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar bahawa pelajar universiti di Jepun dan Jerman adalah satu bangsa dan boleh bersaing sesama mereka hingga menjadi bangsa yang hebat.

Demikianlah juga jika alasan mewujudkan persaingan dengan kaum lain, banyak lagi universiti awam dan swasta dalam negara yang tersedia menawarkan tempat buat kaum lain.

Masih banyak lagi golongan miskin Melayu dan bumiputera di pedalaman dan kampung waima di bandar yang harus diberi peluang memasuki UiTM.

Golongan pendesak yang mahu UiTM dibuka kepada kaum lain harus ditentang terutama oleh bekas pelajar UiTM yang telah banyak terhutang budi pada institusi keramat orang Melayu ini.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih lagi kedengaran desakan-desakan ke arah itu terutama daripada golongan politik berkepentingan, sedangkan banyak lagi perkara mengenai kesejahteraan rakyat yang boleh diperjuangkan mereka.

Sekali lagi saya tegaskan, UiTM adalah untuk orang Melayu dan bumiputera. Diharapkan segala desakan dan perdebatan isu ini terus dikuburkan selama UiTM dihatiku.

MOHATHUS

Kuala Lumpur