Gerakan Keadilan Monetari (MMJ) Malaysia merasakan sudah tiba masanya untuk pembaharuan dalam sistem kewangan negara.

Pembaharuan ini bertujuan membanteras inflasi kekal seperti kenaikan harga makanan dan harga rumah yang melambung, merapatkan jurang kemiskinan, menambah pengeluaran (output) ekonomi serta menyelesaikan masalah pengangguran.

Fakta yang tidak diketahui ramai adalah Malaysia berada di bawah satu sistem di mana hak mencipta wang telah diserahkan kepada sektor swasta dan bukannya kerajaan.

Kita berpendapat wang dicipta sepenuhnya Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi realitinya BNM hanya mencipta lebih kurang lima peratus daripada keseluruhan jumlah wang negara.

Sekitar 95 peratus lagi diserahkan kepada sektor swasta. Apabila sektor swasta mencipta wang, mereka tidak mengambil kira kebimbangan dan kepentingan orang ramai seperti inflasi dan pengangguran sebaliknya hanya bermotifkan keuntungan peribadi. Inilah akar kepada semua masalah di atas.

Bank-bank yang mencipta wang baharu melalui pinjaman ataupun pembiayaan. Fenomena ini telah dibuktikan oleh Bank of England, The Federal Reserve (Bank Pusat Amerika) dan Bank Pusat Eropah.

Penciptaan wang yang berleluasa oleh bank-bank hanya mengutamakan keuntungan, menimbulkan masalah sebaliknya menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Sektor perusahaan kecil dan sederhana (IKS) tidak diberi keutamaan pinjaman seterusnya memberi kerugian besar dari segi pengeluaran ekonomi dan menghasilkan kadar pengangguran tinggi.

Terdapat beberapa kajian menunjukkan sektor perbankan hanya menyalurkan 16 peratus pinjaman untuk ekonomi sebenar sementara 84 peratus pinjaman bank adalah untuk perumahan, bangunan komersial dan sektor kewangan.

Kesudahannya, inflasi am melanda harga makanan dan kos sara hidup sementara inflasi gelembung terhadap rumah dan hartanah. Satu lagi perkara yang janggal ialah hanya 15 peratus pinjaman bank disalurkan kepada IKS, iaitu sektor yang mencipta purata 80 peratus peluang pekerjaan di kebanyakan negara.

Dalam konteks Malaysia, maklumat Jabatan Statistik Malaysia pada 2005 menunjukkan sektor perbankan hanya menyumbang 15 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diperlukan IKS.

Manipulasi perkataan ‘risiko’ oleh sektor perbankan juga telah menyumbang kepada sekatan IKS menerima pembiayaan. Apabila bank ditanya mengapa mereka begitu sukar memberi pinjaman kepada IKS, jawapannya sama setiap kali - kerana terdapatnya ‘risiko’ dan IKS tidak memiliki modal serta cagaran mencukupi.

MMJ mempercayai masalah risiko, modal dan cagaran yang tidak mencukupi ini akan selesai sekiranya pihak bank membuat anjakan paradigma untuk membuat pelaburan dalam ekuiti IKS bagi menggantikan pembiayaan hutang.

Masalah risiko mampu diselesaikan jika kesemua bank memiliki jumlah pegawai pelaburan mencukupi untuk memantau pelaburan ekuiti mereka dalam IKS. Masalah kos gaji pegawai pelaburan pula boleh diatasi dengan cara membayar elaun asas dan perkongsian keuntungan bank.

Ramai graduan menganggur yang boleh mengisi jawatan tersebut. Satu akademi latihan khas di universiti tempatan boleh diwujudkan untuk graduan menganggur ini dilatih golongan profesional dan juga usahawan.

Penyelesaian ini bukan sahaja akan menghasilkan peluang pekerjaan malah dapat merangsang pengeluaran ekonomi, semuanya dengan langkah pertama iaitu meningkatkan pembiayaan dalam sektor IKS.

SEKRETARIAT MMJ MALAYSIA

Kuala Lumpur