Ketaranya, terdapat individu membuang sampah seperti baju terpakai dan sofa lama mereka jauh dari kawasan kediaman. Pendek kata, buanglah sampah di mana sahaja asalkan bukan berhampiran rumah sendiri tanpa mengambil peduli kesannya ke atas orang lain dan alam sekitar setempat.

Selain itu, segelintir masyarakat juga terkenal dengan sikap ‘tidak apa’ terhadap masalah alam sekitar. Malah, ada menganggap ‘tidak apa’ untuk membuang sampah di luar tong sampah, membazir air, membakar sampah di depan kediaman dan sebagainya tanpa memikirkan kesan negatif daripada tindakan tersebut.

Kalangan mereka menganggap ‘tidak apa’ membuang sampah merata-rata kerana ada tukang sapu dibayar gaji oleh majlis perbandaran yang akan membersihkan kawasan berkenaan.

Biarpun sikap itu nampak remeh namun impaknya cukup besar terhadap masalah alam sekitar yang semakin hari semakin meruncing.

Hasil kajian doktor falsafah yang dijalankan menerusi temu bual beberapa wartawan dan staf pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Lembah Klang mendapati kedua-dua pemegang taruh ini telah giat menyampaikan mesej kesedaran alam sekitar melalui penulisan dan aktiviti-aktiviti lain.

Namun semua usaha murni itu menjadi sia-sia disebabkan sikap not-in-my-backyard dan ‘tidak apa’ yang sudah sebati dengan masyarakat Malaysia. Sampai bila kita mahu menggunakan alasan negara sedang membangun dan rakyat masih memerlukan masa untuk menjaga alam sekitar? Berapa banyak masa yang diperlukan dan berapa banyak masa lagi kita ada?

Sudah tiba masanya kita berubah sikap daripada hanya menjaga alam sekitar berdekatan kawasan kepada menjaga alam sekitar secara kolektif. Amat penting juga untuk rakyat negara ini berubah sikap ‘tidak apa’ yang diwarisi kepada sikap prihatin terhadap alam sekitar termasuklah dalam aspek kecil seperti pembuangan dan pengurusan sampah.

Jika kita komited menjaga alam sekitar, maka tidak mustahil pada suatu hari nanti Malaysia akan menjadi negara maju dan unggul bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga penjagaan alam sekitarnya.

DR. MOHAMAD SAIFUDIN MOHAMAD SALEH

Universiti Sains Malaysia