Kami mendesak supaya satu siasatan segera dan tindakan drastik dilakukan terhadap pengetua sekolah tersebut supaya kes jenayah liwat dan seumpamanya tidak berulang lagi dan tidak ada mana-mana pihak mengeksploitasi pelajar.

Kami berasa kesal dengan kejadian tersebut. Para pelajar perlu dilindungi dan diberi keadilan kerana tindakan segelintir individu atau pihak pentadbir boleh menghakis kepercayaan masyarakat dan mengundang persepsi negatif.

Kami menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri memantau kewujudan pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan menetapkan garis panduan penubuhannya agar semua sekolah dan pusat tahfiz dipantau dengan lebih dekat dan sistematik supaya tiada kejadian seumpama itu berulang lagi.

Kami memohon DBKL di bawah Menteri Wilayah Persekutuan mengambil jalan harmoni dan rahmat dalam menangani isu sebegini dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan.

Sepatutnya menteri mengambil jalan perundingan dan diplomasi dengan pihak sekolah untuk mendaftarkan sebagai pusat tahfiz yang sah.

Kami mengiktiraf peranan dan sumbangan pusat tahfiz di dalam sistem pendidikan negara dan kes yang berlaku amat terpencil namun boleh mengundang persepsi negatif terhadap institusi tahfiz.

Kami mencadangkan agar dasar tahfiz negara yang telah digubal dapat direncanakan dengan sebaiknya agar kualiti pengurusan, kualiti guru, prasarana sekolah, kurikulum dan pelajar tahfiz dapat membantu menyumbang kepada pembangunan negara sekali gus ia menjadi wadah pilihan utama dan kepercayaan masyarakat.

Sudah tiba masanya institusi dan pusat tahfiz dipantau dan diselia untuk mengelak kejadian ini berulang terutama kes-kes jenayah dan gangguan seksual. Kes-kes sebegini bukan sahaja terjadi di pusat-pusat tahfiz tetapi lebih menjurus kepada sekolah-sekolah berasrama sama ada sekolah kerajaan, swasta dan persendirian.

Ibu bapa perlu bersama membantu bagi menangani isu-isu sebegini dengan memberikan kesedaran kepada anak-anak dan bekerjasama dengan kaunselor atau pentadbir sekolah untuk mengelakkan ia terjadi.

Mohd. Azizee Hasan

Presiden iGuru