Keadaan jalan retak, mendap, penutup lubang terbenam atau di atas paras jalan, tampalan tidak sempurna dan berpasir, berlopak serta dipenuhi sisa tumpahan simen yang membentuk bonggol-bonggol seperti busut kecil bukan pemandangan asing di negara ini.

Boleh dikatakan rupa wajah jalan raya seumpama itu ada di mana-mana sahaja di seluruh Malaysia. Kualiti buruk jalan raya bukan lagi ‘milik’ bandar-bandar kecil atau kampung tetapi sudah berjangkit ke bandar-bandar besar.

Kalau memandu atau menunggang motosikal pada waktu siang, boleh juga mengelak tetapi pada waktu malam atau ketika hari hujan, hampir setiap orang sudah ada pengalaman ‘masuk lubang’.

Pengguna bukan sahaja terdedah kepada risiko kemalangan, tetapi terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk menyelenggara dan memperbaiki kenderaan mereka. Akibat daripada itu banyak peralatan sokongan kenderaan seperti tayar mudah pancit dan rosak.

Pengalaman saya sendiri terpaksa bertukar tayar dua kali dalam tempoh tidak sampai enam bulan. Semuanya gara-gara tayar bengkak teruk akibat hentakan kuat setelah kereta memasuki beberapa lubang yang dilitupi air hujan sepanjang melalui laluan utama Jalan Chan Sow Lin pada waktu malam.

Bercakap soal kualiti dan rupa wajah jalan raya di negara ini boleh menyebabkan ramai orang naik darah, kecewa, marah, dan hampir berputus asa. Paling menyakitkan hati ketika melihat jalan yang elok diturap hari ini sudah dikorek keesokan harinya.

Tidak tahu di mana silapnya, ada sahaja kerja-kerja mengorek dijalankan sebaik sahaja kerja menurap jalan baharu dilaksanakan. Lubang ditampal atau diturap hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja.

Lebih teruk, ada jalan yang dikorek dan tidak sempat ditimbus pada hari yang sama ditinggalkan ‘ternganga’! Rupanya tidak ubah seperti perangkap maut yang boleh mendatangkan kecederaan parah kepada pengguna jalan raya.

Dalam kebanyakan kes, apabila kerosakan ini berulang, tindakan yang diambil adalah menampal kembali kerosakan itu. Kadang-kadang sehingga beberapa kali. Ini sudah tentu melibatkan kos yang juga berulang, namun penyelesaian muktamad seakan tidak ditemui.

Mungkin kos menampal jalan tidak sebesar membaiki jalan secara lebih holistik. Tetapi jika ia terpaksa dilakukan berulang kali dalam waktu yang singkat, maka kosnya akan bertambah.

Harus diingat, duit yang ‘dibazirkan’ untuk menangani masalah tersebut adalah duit rakyat. Kualiti jalan raya harus diberi perhatian. Biarlah ia sepadan dengan kos penyelenggaraan yang dikeluarkan saban tahun.

Pengguna jalan raya sebagai pembayar cukai sudah bosan dan putus asa dengan situasi ini. Sampai bila mereka harus berhadapan dengan jalan raya seperti itu? Apakah cara paling efektif untuk menanganinya?

Merujuk persoalan itu, kerajaan disyor memperluaskan penggunaan turapan simen konkrit di semua jalan raya termasuk jalan pedalaman dan kampung di negara ini, dan bukan setakat di lebuh-lebuh raya sahaja.

Ini kerana turapan simen konkrit mempunyai banyak kelebihan berbanding turapan secara konvensional iaitu tar, terutama jangka hayat lebih panjang dan kos kitaran hidup yang rendah, selain mampu menampung beban gandar lebih tinggi.

Diakui kos turapan simen konkrit lebih mahal dan mungkin kosnya mencecah lebih 20 peratus daripada kos digunakan dalam turapan secara konvensional, namun dalam jangka panjang, ia dapat bertahan lebih tahan lama serta tidak memerlukan banyak penyelenggaraan.

Selain itu, satu badan pemantau bebas khusus mengawasi kerja-kerja baik pulih jalan raya terutama projek-projek yang memerlukan jalan raya dikorek atau diturap semula, perlu ditubuhkkan.

Badan pemantau antara lain berperanan sebagai pihak ketiga yang akan melaporkan sekiranya syarikat melaksanakan projek itu gagal mencapai spesifikasi ditetapkan dan mereka mungkin dikenakan denda dan sebagainya.

KERETA BURUK

Shah Alam