BR1M yang dikatakan dedak, rasuah, wang curi, haram dan pelbagai lagi gelaran buruk adalah wang rakyat, hasil dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jadi apakah salah wang tersebut dikembalikan kepada rakyat? Walaupun tidak sebanyak mana dan tidak semua rakyat menerimanya, paling kurang ianya dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah dan orang bujang berpendapatan sederhana.

Sekarang ini rakyat tidak kisah kalau kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu memberhentikan pemberian BR1M tapi perlu diingat, sejak dari terbentuknya kerajaan baharu, kerajaan PH masih ‘berhutang’ dengan rakyat. Rakyat tidak menuntut ‘wang percuma’ tapi rakyat menuntut janji. Janji yang tidak ditunaikan juga adalah ‘hutang’.

Sudah-sudahlah memburukkan kerajaan terdahulu, menyebut pasal hutang negara. Rakyat sebenarnya sudah muak dan tahu itu semua adalah spekulasi. Tentu lebih bijak bercakap bagaimana hendak menyelesaikan masalah dan apa strategi untuk melunaskan hutang. Apakah dengan potongan gaji para menteri sebanyak 10 peratus itu terasa sudah begitu besar pengorbanan? Tidakkah pengorbanan rakyat jauh lebih besar? Rakyat sanggup melepaskan segala-galanya demi untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang kononnya lebih baik.

Guan Eng perlu sedar, betapa beruntungnya kerajaan PH mengambil alih kuasa dari kerajaan BN. Walaupun negara dikatakan sudah muflis dan mahu dijual, wang telah dicuri berbilion-bilion ringgit, struktur pentadbiran negara kononnya telah rosak binasa, tetapi sebaik sahaja PH membentuk kerajaan masih boleh membayar gaji menteri dan penjawat awam.

Masih boleh membayar elaun petugas-petugas sokongan. Boleh membayar pencen pesara. Projek-projek yang dirancang banyak diteruskan. Bank-bank tidak ada yang ditutup. Di samping itu, semua rakyat sedang tertunggu-tunggu keputusan Mahkamah Singapura untuk mengembalikan jutaan ringgit dana 1MDB yang didakwa diselewengkan 53 individu.

Persoalannya, bagaimana kerajaan PH hendak mendakwa 53 individu tersebut sedangkan ahli perniagaan Jho Low masih belum ditangkap? Juga meragukan bagaimana Mahkamah Singapura boleh mengembalikan wang tersebut sedangkan perbicaraan masih belum berjalan. Bahan bukti belum ada, saksi baru hendak dikesan? Jangan nanti sampai Mahkamah Singapura menggugurkan saja kes tersebut seperti kes rasuah banglo dahulu.

CUCU TOK WOH

Chenor, Pahang