Mengambil contoh rakyat Jepun dan Korea yang mengutamakan jenama tempatan, Dr. Mahathir nyata kecewa apa jua jenis jenama kenderaan dibenarkan masuk ke Malaysia dan dakwanya ‘pasti’ menjadi pilihan berbanding kereta nasional Malaysia sehingga tertimbusnya Proton.

Di akhir luahan, beliau menuduh rakyat Malaysia (mungkin ditujukan kepada orang Melayu) mahu kekal menjadi negara pengguna, negara penanam padi dan pemancing ikan malah mengajak rakyat agar lupakan sahaja Wawasan 2020 yang tinggal 17 bulan sahaja lagi.

Saya harap Dr. Mahathir janganlah merajuk di usia emas ini, bukannya rakyat tidak menyokong tetapi kerajaan juga yang mencanangkan hutang tinggalan pemerintahan lama mencecah RM1 trilion. Tabung Harapan Malaysia pun baru kutip sekitar RM150 juta.

Lagi pun tidak adil untuk menuduh rakyat apatah lagi orang Melayu tidak menyokong Proton kerana pembeli utama kenderaan nasional itu adalah anak Melayu khususnya jika tidak mampu membeli kereta import.

Mungkin juga beliau terkeliru golongan yang rata-ratanya membeli dan menggunakan kereta import dari Jerman, Sweden, Jepun, Korea, China, India dan lain-lain negara itu adalah penyokong kerajaan pimpinan beliau khususnya DAP.

Saya juga perhatikan anak cucu Dr. Mahathir sendiri tidak menggunakan mahupun menyokong kereta nasional mahupun jenama tempatan seperti mana beliau sendiri sentiasa menunjukkan kebanggaan menggunakan kereta Proton.

Jangan kata kereta nasional, motosikal pun masih ramai tidak mampu beli.

Bagaimana dapat diharapkan golongan berpendapatan rendah ini menyokong rancangan yang akan ‘menyedut’ wang rakyat daripada usaha-usaha membantu mengurangkan kos sara hidup?

Janganlah Dr. Mahathir merajuk, lagipun kini dengan kuasa telah kembali ke tangan beliau, Perdana Menteri boleh menyekat import jenama kenderaan dan pasti dapat menjayakan pembangunan kereta nasional baharu selain Proton, Perodua, Naza dan apa jua perusahaan kereta tempatan lain.

Apa kata Dr. Mahathir mulakan dengan anggota Kabinet diwajibkan membeli (dengan duit sendiri) sebuah kereta Proton diikuti semua Ahli Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan. Pasti rakyat kagum dan akan turut serta.

PEMANDU PROTON

Putrajaya