Kilang masih mencemar sungai, pembalakan dan perlombongan haram masih berlaku dan pembinaan diteruskan tanpa kelulusan impak alam sekitar.

Haiwan terancam pula masih menjadi eksport besar ke luar negara khususnya Taiwan, Hong Kong dan China malah restoran haiwan eksotik masih berleluasa menjual hidangan haiwan hampir pupus atas alasan kesihatan, kekuatan seksual, budaya dan keagamaan.

Jangan dibiarkan peniaga dan pemburu haram terus mengambil kesempatan alasan budaya dan keagamaan untuk menghalalkan penjualan haiwan yang sudah terancam seperti tenggiling, sirip ikan yu serta anggota badan beruang matahari, gajah, badak sumbu dan harimau.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) diubah suai menjadi sebuah suruhanjaya bebas supaya mempunyai lebih kuasa penuh melindungi flora dan fauna Malaysia.

PENCINTA ALAM

Johor Bahru