Selama bertahun-tahun, saya juga mendapati ibu bapa yang berniat baik masih terlepas mesyuarat PIBG malah turut ketinggalan majlis anjuran sekolah seperti Hari Kantin, Hari Sukan dan pelbagai program lain.

Bagi ibu bapa yang bekerja, mungkin mereka tidak mempunyai kelapangan untuk hadir dan bukannya kerana tidak mahu atau tidak mengambil berat.

Kadangkala masa dan tarikh perjumpaan bertembung dengan urusan seperti berjumpa doktor, menghadiri majlis kenduri dan lain-lain.

Mungkin kini ibu bapa lebih sibuk dengan aktiviti berjadual dan tidak dapat menghadiri semua program yang dianjurkan pihak sekolah. Sungguh pun begitu, masih ramai juga yang cuba memenuhi jemputan pihak sekolah untuk memberi sokongan.

Namun, kebanyakan perjumpaan didapati tidak berlangsung dengan baik malah dianggap tidak relevan, tidak menarik serta tidak memerlukan bantuan tenaga ibu bapa sebaliknya sekadar mahu mendapatkan ‘sumbangan’ barang dan wang ringgit.

Saya sendiri pernah terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa PIBG dan telah mencadangkan mesyuarat hanya diadakan jika memerlukan keputusan secara bersemuka dengan ibu bapa.

Jika tiada keperluan mendesak, urusan lain PIBG boleh dibuat melalui e-mel, portal dan laman web sekolah atau makluman menggunakan surat biasa melalui anak-anak.

Namun, cadangan ini mendapat tentangan dan tidak dipersetujui pihak sekolah dan anggota PIBG sendiri dengan alasan tidak semua ibu bapa mempunyai akses internet atau mahir dalam teknologi maklumat. Bolehkah alasan ini diterima?

Agenda yang jelas dan berkomunikasi dengan ibu bapa dengan baik supaya mereka mengetahui tujuan pertemuan, perkara mesyuarat dan mengapa penyertaan mereka diperlukan adalah perkara paling penting.

Oleh itu, rancang agenda mesyuarat PBG dengan rapi terlebih dahulu supaya tidak membazirkan masa ibu bapa, guru dan juga sumber sekolah.

Tujuan PIBG bermesyuarat adalah untuk mendapat kerjasama dan menyelesaikan masalah, bukannya sekadar memaklumkan sesuatu yang boleh diberitahu melalui surat atau e-mel.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur