Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tribunal Rohingya PBB

DUA kanak-kanak pelarian Rohingya yang kelaparan memasak makanan
DUA kanak-kanak pelarian Rohingya yang kelaparan memasak makanan di atas dapur buatan sendiri di Coxs Bazar, Bangladesh, kelmarin. REUTERS

LANGKAH yang lebih berani perlu diambil bagi terus membantu nasib malang yang menimpa masyarakat etnik Rohingya serta masyarakat minoriti lain di negara Myanmar.

Antara langkah yang boleh diambil khususnya oleh masyarakat antarabangsa dalam menghadapi isu berkenaan adalah dengan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan satu tribunal atau mahkamah khas peringkat antarabangsa bagi menyiasat segala bentuk penindasan dan kezaliman yang menimpa kaum minoriti di negara berkenaan khususnya masyarakat etnik Rohingya.

Sejak akhir-akhir ini, kita telah didedahkan dengan pelbagai cerita mengenai kezaliman dan kesengsaraan yang menimpa kaum minoriti di Myanmar hasil tindakan tentera serta kumpulan agama yang fanatik.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, tiada tindakan yang jelas diambil oleh kerajaan Myanmar bagi menghentikan tragedi tersebut.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan Dunia tahun 1991, Aung San Suu Kyi juga dilaporkan tidak membuat apa-apa malah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membidas penindasan yang dilakukan terhadap golongan minoriti terbabit.

Oleh demikian, sudah sampai masanya agensi antarabangsa khususnya PBB mengambil langkah proaktif bagi menubuhkan satu tribunal atau mahkamah khas bagi menyiasat kezaliman dan penindasan yang dilakukan ke atas etnik Rohingya serta etnik minoriti yang lain di Myanmar.

Artikel 1, Piagam PBB jelas menyatakan bahawa penubuhan PPB adalah untuk menjamin keselamatan serta menjaga keamanan dunia.

Berpandukan matlamat utama ini, satu usaha perlu digerakkan PBB untuk membantu etnik Rohingya serta masyarakat minoriti di Myanmar yang kini sedang bergelut dengan cabaran dan dugaan besar daripada kerajaan dan tentera mereka sendiri.

Usaha penubuhan tribunal atau mahkamah khas ini bukan perkara baharu memandangkan tribunal serupa telah dibentuk bagi menyiasat tragedi kemanusiaan yang berlaku di bekas negara Yugolsavia serta pembunuhan beramai-ramai di Rwanda 20 tahun lalu.

Perlu diketahui umum bahawa masalah yang menimpa etnik Rohingnya serta etnik minoriti yang lain di Myanmar bukanlah satu isu yang baharu.

Mengikut rekod kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, nasib buruk yang menimpa etnik terbabit telah berlaku sejak zaman pemerintahan junta tentera sekitar tahun 1970-an malah ada yang menyatakan bahawa nasib buruk yang diterima mereka bermula lebih awal daripada itu.

Menjadi kebimbangan semua pihak nasib yang menimpa etnik minoriti di Myanmar boleh menjadi satu isu kemanusiaan yang besar serta memerlukan campur tangan asing dengan segera.

PBB perlu mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu terbabit serta menggerakkan usaha bagi menubuhkan satu tribunal atau mahkamah khas bagi menyiasat segala jenayah yang berlaku serta membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan selaras dengan peruntukan kuasa penubuhan entiti siasatan berkenaan seperti yang telah termaktub di bawah Artikel 41 Piagam PBB.

Penubuhan tribunal atau mahkamah khas perlu dianggap satu keutamaan mendesak kerana langkah ini dapat membuka mata dunia terhadap nasib buruk yang menimpa etnik Rohingya serta etnik minoriti yang lain serta memberi peringatan kepada semua negara untuk tidak melakukan atau mengambil sebarang tindakan di luar batas kemanusiaan terhadap mana-mana golongan.

DR. MUZAFFAR ShAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain