Seperti dijangka, kami terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lebih tiga jam untuk pulang dari Amcorp Mall ke Batu Caves.

Ditambah lorong motosikal yang ditutup, hujan dan tabiat manusia durjana memotong melalui lorong kecemasan, Lebuh Raya Persekutuan begitu sesak dengan kereta, motosikal serta kenderaan berat.

Tidak dapat dibayangkan penduduk Shah Alam dan Klang yang bekerja di Kuala Lumpur terpaksa meredah kesesakan sama setiap hari.

Mereka hanya boleh reda buang masa di tengah jalan raya atau buang masa keluar rumah lebih awal dan pulang lebih lewat dari pejabat.

Mungkin sampai masanya pihak berwajib menambah baik atau ubah suai Lebuh Raya Persekutuan, bukannya dengan menambah lagi susur masuk atau keluar tetapi mengagihkan aliran trafik supaya tidak terlalu sesak.

Saya harap pihak berkuasa juga dapat pasang kamera atau membuat sekatan berkala di lorong kecemasan lebuh raya tersebut supaya tiga lorong tidak menjadi enam lorong setiap pagi dan petang hari bekerja.

JIWA KACAU

Batu Caves, Selangor