MENJELANG tarikh mengundi tidak lama lagi, saya ingin memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan aktiviti meraih undi di pusat mengundi khususnya sepanjang barisan pengundi yang menunggu giliran masing-masing.

Mengikut pengalaman Pilihan Raya Umum 2013, peraih undi menjerit-jerit ke muka pengundi yang beratur panjang di pusat mengundi bagi mempromosikan calon mereka sehingga di saat akhir.

Perbuatan ini sebenarnya hanya menyakitkan hati pengundi dan menyebabkan pengundi berasa tidak selesa berdiri di tengah panas sambil mendengar golongan ini terpekik terlolong.

Majoriti pengundi bukannya taksub kepada parti atau ahli politik tertentu dan kebanyakannya atas pagar sehingga ke saat akhir.

Peraih undi sepatutnya menghormati pengundi yang sedang beratur dan menggunakan cara serta bahasa sopan jika mahu mempromosikan calon mereka.

Walaupun bermacam peraturan dan syarat ketat diwujudkan SPR, penguatkuasaannya sangat lemah. Hadkan jarak peraih undi dari pusat membuang undi demi keselesaan rakyat membuat pilihan tanpa tekanan mahupun hasutan daripada mana-mana pihak.

KAMAL HASAN
Batu Caves, Selangor