Akibat sukar untuk bernafas dan sakit di bahagian dada, doktor di Klinik Labis telah menghantar ayah saya terus ke Bahagian Kecemasan Hospital Segamat.

Layanan dan kecekapan doktor-doktor di Hospital Segamat amat saya hargai. Ramah mesra membantu pesakit membuatkan kami sekeluarga kurang merasa tekanan dan merasa yakin akan kepakaran doktor-doktor tersebut.

Apa yang ingin saya sampaikan di ruangan ini ialah rasa kecewa dengan pihak Kementerian Kesihatan kerana masih tidak memikirkan masalah rakyat bawahan yang mengalami masalah kesihatan.

Ayah saya terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum ditempatkan di wad sementara menunggu untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Alasan yang diberikan ialah ‘katil penuh’.

Apa ertinya sebuah negara maju jika keperluan kesihatan rakyat masih jauh ketinggalan dan alatan belum mencukupi. Kepadatan penduduk dan ramai pesakit setiap hari tetapi tiada cadangan memperbesarkan hospital tersebut.

Kami pernah mempunyai menteri di kawasan parlimen tersebut yang ditugaskan menjaga Kementerian Kesihatan tetapi nampaknya gagal menaik taraf kemudahan di Hospital Segamat.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kemudahan untuk pesakit jantung amat terhad dan tidak mencukupi di hospital-hospital luar bandar.

Bagi pesakit jantung di seluruh negeri Johor, hanya ada satu tempat khusus untuk rawatan jantung iaitu di Hospital Tun Aminah di Johor Bahru. Saya dimaklumkan hospital itu juga hanya mempunyai dua orang doktor pakar jantung.

Bagi rakyat biasa, seperti seorang peneroka yang tidak mempunyai anak ramai, ayah saya perlu menunggu agak lama untuk mendapatkan rawatan di Unit Jantung di Johor Bahru.

Ini belum ambil kira peluang mendapatkan rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) yang mungkin setelah terlalu kritikal baru diberi peluang masuk.

Itu pun pesakit ditanyakan soalan, ‘siapa yang bayar bil rawatan?’ Rawatan jantung di IJN juga bukannya murah dan rakyat biasa termasuk keluarga peneroka miskin seperti kami tidak mampu untuk membayarnya.

Rakyat di kampung dan pedalaman selama ini menyokong kepemimpinan Barisan Nasional (BN) tetapi banyak kemudahan awam disediakan bandar-bandar besar yang rata-ratanya penduduknya berkemampuan dan menolak BN.

Inilah antara sebabnya semakin ramai rakyat luar bandar meninggalkan BN.

Anak-anak orang kampung ini berasa kecewa dan menggunakan peti undi untuk mengubah keadaan.

Saya amat berharap luahan ini dibaca oleh pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kesihatan dan Menteri Kesihatan baharu agar sedar keresahan rakyat di bawah.

ANAK PENEROKA KECEWA