Pengalaman buruk dengan segelintir kakitangan bahagian hal ehwal pelajar ketika belajar di sebuah IPT awam di Selangor lebih 10 tahun lalu rupanya masih berlaku sehingga kini.

Isteri saya kini sedang mengikuti program ijazah sarjana dan seorang rakan yang mengambil kursus Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dua buah IPT berbeza turut berdepan sikap kurang ajar sedangkan mereka bukan lagi dalam usia ‘budak-budak’.

Saya dapat bayangkan apa yang dihadapi pelajar muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika bernasib malang berurusan dengan pegawai tiada budi bahasa ini.

Tidak kira pelajar, pensyarah, kakitangan pengurusan, anggota keselamatan mahupun tukang kebun perlu saling hormat-menghormati.

Manusia seperti ini hanya membusukkan nama IPT tersebut dan warga kerja lain. Pihak atasan semua IPT perlu mengenal pasti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Pelajar muda mungkin takut untuk menjawab atau mempertahankan diri tetapi ahli keluarga mereka mungkin masuk campur dan merumitkan lagi perkara yang asalnya rutin biasa.

KAMAL HASAN

Batu Caves, Selangor