Kegagalan itu juga menyebabkan terdapat peminjam PTPTN disenarai hitam di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Sudah tentu tindakan senarai hitam ini memberi kesan terhadap peminjam terbabit antaranya tidak boleh membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

Dalam pada itu, Jabatan Insolvensi Malaysia turut memaklumkan sebanyak 18,457 orang diisytiharkan muflis pada 2015 dengan tiga sebab utama kebankrapan iaitu pinjaman peribadi (28.3 peratus), pinjaman sewa beli kenderaan (25.6 peratus) dan pinjaman perumahan (13.6 peratus).

Semuanya ini berlaku disebabkan sikap segelintir masyarakat di Malaysia yang liat untuk membayar hutang. Perlu diakui kerajaan dilihat banyak memberi bantuan kepada rakyat untuk melangsaikan hutang. Penubuhan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah bukti terhadap komitmen tersebut.

Berdasarkan maklumat, AKPK setakat ini berjaya membantu kira-kira 90,000 peminjam PTPTN yang masih aktif dengan memberikan khidmat nasihat serta merangka pelan pembayaran sesuai dengan kedudukan kewangan mereka. Oleh itu, tolong jangan ambil jalan mudah iaitu dengan mengelak daripada membayar hutang. Kelak kita yang akan menderita.

Justeru diharapkan peminjam PTPTN bijak mengambil peluang yang ada dalam menguruskan bayaran balik hutang secara lebih konsisten. Jika tidak berupaya mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK.

Saya yakin AKPK sedia memberikan bantuan sewajarnya sehingga selesai hutang. Awas, apabila nama telah disenarai hitam, pelbagai masalah akan timbul. Selain dinafikan membuat pinjaman, mereka juga tidak dibenarkan ke luar negara.

Seperkara lagi membayar hutang adalah satu tuntutan dalam Islam yang wajib ditunaikan walaupun penghutang telah meninggal dunia. Saya juga mengalu-alukan langkah PTPTN menawarkan beberapa insentif kepada mereka yang membayar pinjaman secara konsisten.

Selain itu, Kita harus sedar bahawa wang pinjaman PTPTN yang dibayar itu akan digunakan semula untuk membiayai adik-adik yang lain (dalam bentuk pinjaman) melanjutkan pengajian ke universiti.

SHAZANAH SALAMON

Universiti Sains Islam Malaysia