Malangnya, janji itu gagal ditunaikan. Akhirnya peminjam-peminjam PTPTN merasa tertipu dengan janji tersebut. Mungkin janji itu juga yang menjadi daya penarik kepada pengundi-pengundi muda khususnya untuk memilih Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Yalah bagi saya itu strategi parti yang bertanding untuk menarik sokongan rakyat pada masa itu. Apapun ada yang berpendapat dari segi moral janji tersebut wajib ditunaikan. Itu dari satu segi iaitu kewajipan untuk menunaikan janji.

Dalam satu segi lain pula, hutang mahu tidak mahu perlu dibayar. Islam sendiri mewajibkan kita melunaskan hutang berdasarkan kemampuan masing-masing. Yang penting ada usaha untuk melangsaikan hutang termasuk hutang PTPTN.

Berundinglah dengan PTPTN agar peminjam mampu bayar balik pinjaman dalam kadar yang munasabah. Saya yakin PTPTN boleh membantu. Fikirlah nasib adik-adik kita yang juga sebahagian besarnya bergantung kepada PTPTN untuk meneruskan pengajian. Mereka semua bukan orang senang sebaliknya masih memerlukan pinjaman seperti PTPTN sepanjang melanjutkan pengajian di universiti.

Soal hutang adalah satu perkara yang amat serius. Sebab itu antara kewajipan jenazah yang perlu ditunaikan oleh pihak waris ialah melunaskan segala hutang sebelum harta itu dibahagikan untuk faraid, wakaf atau wasiat.

MAK TAM

Kelang