Menyusuri sejarah politik Malaysia sejak dahulu lagi, sememangnya amalan demokrasi adalah pendekatan paling sesuai untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi dengan komposisi rakyat yang pelbagai kaum dan etnik.

Justeru, sesuatu perlu dilakukan agar kempen seperti itu tidak mengganggu sistem demokrasi yang selama ini menjadi faktor kepada kestabilan, keamanan dan keharmonian negara ini. Saya sendiri menggesa kerajaan bertindak terhadap gerakan-gerakan yang menentang demokrasi seperti gerakan kempen undi rosak ini kerana perbuatan seperti itu jelas mencabul hak warganegara untuk memilih pemimpin.

Harus diingatkan bahawa peluang bagi melaksanakan tanggungjawab selaku warganegara ini hanya datang lima tahun sekali. Jika pengundi keluar mengundi sekadar untuk melepas geram nescaya tiada gunanya prinsip amalan demokrasi berparlimen yang sekian lama telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun pada dasarnya kempen ini dijalankan sebagai suatu bentuk protes atau bantahan terhadap kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, namun natijahnya hanya akan menyebabkan perjalanan sistem demokrasi di Malaysia terganggu.

Antara contoh undi rosak yang pernah dan boleh berlaku sepanjang proses pilihan raya ialah seperti tidak memangkah atau tidak meletakkan sebarang tanda di kertas undi, memangkah semua parti yang ditulis, membuat sebarang tanda hingga undi tidak lagi sulit dan sebagainya. Perbuatan-perbuatan seperti ini boleh dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja oleh pengundi.

Yang pasti, perbuatan undi rosak ini sebenarnya hanya menafikan hak mereka sebagai rakyat yang berhak memilih. Malah Islam turut menekankan kepentingan rakyat untuk sama-sama terlibat secara langsung dalam pemilihan pemimpin melalui konsep syura. Pelantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW adalah contoh terbaik.

Janganlah dikhianati amanah ini terutama dalam usaha kita memilih pemimpin-pemimpin terbaik yang bakal menerajui pemerintahan negara ini.

SITI HAMIDAH HASHIM

Universiti Sains Islam Malaysia