Lebih membimbangkan, seramai 3,105 daripada jumlah itu hilang kelayakan menunaikan haji serta tahun giliran menunaikan haji. Ini semua disebabkan kerenah seorang individu tidak bertanggungjawab yang sering ‘menyerang’ Tabung Haji.

Tohmahannya itu menyebabkan harapan lebih 3,000 umat Islam menunaikan ibadah haji hancur begitu sahaja. Dimaklumkan akibat tindakan itu, pendeposit perlu mendaftar semula jika ingin menunaikan haji dan perlu menunggu tempoh lebih lama. Ini satu perkara yang sangat merisaukan.

Saya tertanya mengapakah mereka mudah terpengaruh dengan berita-berita negatif sebegitu dan menutup akaun di Tabung Haji. Bukankah ibadah haji itu jauh lebih penting daripada fitnah yang menimbulkan persepsi tentang keselamatan simpanan di Tabung Haji?

Bukankah simpanan di Tabung Haji itu berlandaskan konsep Al-Wadiah Yad-Dhamanah iaitu simpanan pendeposit dijamin 100 peratus oleh kerajaan? Haruskah kita mengabaikan tanggungjawab sebagai Islam oleh kerana mudah mempercayai mainan politik?

Amat sedih apabila melihat Tabung Haji dijadikan mainan politik. Tabung Haji sepatutnya dilihat sebagai sebuah institusi mulia yang dikagumi masyarakat antarabangsa.

SYED TARIQ AMRAN

Cheras Perdana