Sekitar Januari lalu, Khairy diberi tanggungjawab besar untuk menyelaras dan menghimpunkan semua cadangan dan pandangan mengenai Malaysia bagi tempoh 30 tahun akan datang bagi merangka TN50 yang berpaksikan aspirasi akar umbi sekali gus membezakannya dengan dasar-dasar jangka panjang sebelum ini yang bersifat daripada kerajaan kepada rakyat.

Tugas yang agak mencabar kerana Ahli Parlimen Rembau itu perlu menarik lebih banyak penglibatan awam dalam merangka TN50 yang bermula dengan generasi muda untuk mendapatkan input berkenaan hala tuju negara menjelang 2050.

Begitupun beliau mampu menggerakkan usaha itu secara progresif apabila menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengumpul dan mendengar suara rakyat. Satu pendekatan yang sangat efisien kerana majoriti golongan belia hari ini mempunyai gajet dan ini akan memudahkan proses penglibatan awam bagi menyediakan laporan TN50.

Langkah proaktif diambil Khairy itu menunjukkan kesungguhan beliau untuk melibatkan seramai mungkin penyertaan golongan muda. Beliau nampaknya berusaha menerima suara anak-anak muda untuk sama-sama menterjemahkan TN50.

Sememangnya pemikiran dan idea anak muda harus dikongsi dan diketengahkan bagi mengumpul cadangan serta idea-idea segar daripada golongan belia Malaysia. Peluang perlu diberikan kerana ramai dalam kalangan anak muda masa kini mempunyai ciri-ciri kepemimpinan selain berkelayakan tinggi.

Keterbukaan kerajaan memberi peluang sedemikian kepada masyarakat khususnya golongan muda amat dihargai rakyat. Ini adalah peluang keemasan kepada belia terutama mahasiswa yang dapat mempraktikkan segala teori yang dipelajari di universiti bagi membangunkan sebuah negara yang lebih matang pada masa depan.

Apa yang pasti, TN50 yang bakal dirangka kelak adalah terjemahan suara rakyat yang bersemangat untuk memajukan Malaysia.

SITI FATIMAH 
MUHAMAD RAFIEE

Universiti Sains Islam Malaysia