Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

TN50: Lahirkan graduan usahawan

BIDANG keusahawanan bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang
BIDANG keusahawanan bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang seimbang dan produktif malah dapat membantu kerajaan mempercepatkan lagi langkah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara cemerlang serta berwawasan melalui semangat serta dasar TN50. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

SAUDARA PENGARANG,
DALAM memacu Malaysia ke arah yang lebih cemerlang dan berwibawa, pelbagai dasar dan polisi telah diperkenalkan oleh pucuk kepimpinan negara dan yang terbaharu dasar Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

Dasar ini telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan membentuk masa depan negara Malaysia yang lebih cemerlang bermula 2020 hingga 2050 kelak. TN50 juga adalah satu platform untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih berpotensi dari sudut ekonomi, inovasi mahupun kesejahteraan rakyat.

Pun begitu, dalam membentuk acuan sebuah negara maju melalui dasar-dasar yang diperkenalkan itu masih terdapat beberapa masalah yang dihadapi terutama dari segi pengangguran yang masih berlaku sehingga kini. Tidak boleh dinafikan masalah ini amat membimbangkan apabila melibatkan masa depan terutama dalam kalangan graduan negara kita.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, kadar pengangguran di negara ini pada Januari 2017 adalah 3.5 peratus. Angka ini adalah sama seperti bulan sebelumnya (Disember 2016).

Bagaimanapun jika dibuat perbandingan antara Januari tahun ini dengan Januari tahun lalu, kadarnya meningkat dalam satu peratus. Pada Januari 2016 kadar pengangguran yang dicatatkan ialah 3.4 peratus.

Walaupun peningkatan pengangguran cuma satu peratus namun jika masalah ini tidak ditangani dengan baik sudah pasti kadarnya boleh meningkat dari setahun ke setahun. Mahu tidak mahu kerajaan serta semua pihak berkaitan perlu berbuat sesuatu agar masalah pengangguran ini mampu ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu banyak pihak berpandangan termasuk kerajaan bahawa bidang keusahawanan adalah salah satu alternatif atau jalan keluar bagi mengatasi masalah tersebut. Tambahan pula bidang berkenaan telah diiktiraf sebagai salah satu inisiatif utama dalam pembangunan ekonomi bagi sesebuah negara.

Oleh itu, para graduan disaran menceburkan diri dalam bidang ini. Mereka perlu berani berbuat demikian meskipun terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi. Sekurang-kurangnya mereka tidak menganggur selepas tamat pengajian lantaran terlalu mengharapkan pasaran kerja yang kini semakin terhad.

Apa yang perlu dilakukan para graduan diminta mengenal pasti jenis perniagaan yang mahu diceburi. Ini bagi memastikan jenis perniagaan yang dipilih itu bersesuaian dengan kebolehan serta minat mereka.

Selepas itu mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat di mana-mana agensi kerajaan seperti Mara atau Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang sedia memberikan bantuan dan peluang. Memang tidak boleh dinafikan dalam mendepani krisis ekonomi masa kini, bidang keusahawanan menjadi titik permulaan dalam mengatasi masalah pengangguran.

Buat permulaan mereka boleh mengasah bakat dalam perniagaan kecil-kecilan. Di samping secara kecil-kecilan mereka boleh membuat nilai tambah melalui perniagaan dalam talian. Sebagai contoh, katakanlah mereka mengusahakan butik pakaian. Di samping menjualnya di butik, pakaian itu juga boleh dipasarkan secara dalam talian.

Seperkara lagi kita jangan lupa, selain memberi manfaat kepada graduan dalam bentuk menyediakan pekerjaan sendiri, bidang keusahawanan juga boleh membuka peluang pekerjaan kepada orang lain. Secara tidak langsung akan mengurangkan masalah pengangguran.

Mahu tidak mahu penekanan terhadap aspek keusahawanan ini perlu dimulakan di peringkat sekolah lagi sama ada dalam bentuk subjek formal mahupun aktiviti luar kelas. Usaha itu kemudian diteruskan hingga ke peringkat institut pengajian tinggi. Sekurang-kurangnya pelajar serta graduan kita mempunyai ilmu dan pengalaman sekiranya mereka berhasrat untuk menjadi usahawan.

Kesimpulannya, bidang keusahawanan adalah struktur yang penting dalam membantu generasi masa depan membina kerjaya masing-masing tanpa mengharapkan pekerjaan yang sedia ada. Yang pasti, bidang ini bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang seimbang dan produktif malah dapat membantu kerajaan mempercepatkan lagi langkah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara cemerlang dan berwawasan melalui semangat serta dasar TN50.

ABDUL WAFI HATIM HUSAINI

Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain