PEPATAH Inggeris ada menyatakan We Are What We Eat yang bermaksud kita adalah apa yang kita makan. Oleh itu, sekiranya kita ingin sihat, perlu amalkan pemakanan secara seimbang sekalipun dengan cara berdiet.

Perkataan seperti ‘diet’, ‘nak kurus’, ‘aku dah gemuk’ memang sinonim dalam kalangan mahasiswa. Namun, adakah diet yang diamalkan dapat memenuhi keperluan badan secara optimum?

Berikut adalah beberapa tip diet mudah yang bersesuaian dengan mahasiswa kini iaitu dengan mengamalkan pengambilan air kosong dengan betul.

Kebanyakan mahasiswa jarang mengamalkan minum air kosong. Pengambilan air kosong disarankan sebanyak dua atau tiga liter sehari. Air kosong berfungsi membuang toksin dalam badan, meningkatkan metabolisme sekali gus meningkatkan pembakaran lemak dan penurunan berat badan.

Kita juga digalakkan untuk membuat air detoksifikasi (detox) kerana dapat membantu mereka yang mengalami masalah penghadaman.

Pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad di dalam blognya menulis saranan sarapan pagi dengan mengambil segenggam oat dicampur dengan susu rendah lemak serta tiga biji kurma di samping satu sudu yogurt asli rendah lemak dan satu biji pisang. Kesemua bahan tersebut dijadikan jus.

Selain itu, cadangan sarapan lain adalah sandwich yang mengandungi dua keping roti serat gandum (wholemeal), sebiji telur rebus dan juga sayur-sayuran. Resipi yang sangat mudah ini boleh diamalkan oleh mahasiswa yang ingin berdiet.

Tip seterusnya adalah menggantikan kudapan dengan sesuatu yang berkhasiat, berkualiti dan mengenyangkan. Apa yang boleh diamalkan adalah dengan menjadikan kurma atau epal hijau ataupun betik serta buah-buahan segar lain sebagai gantian snek yang biasa dikunyah kebanyakan mahasiswa khususnya mi segera.

Jika diperhatikan, kebanyakan mahasiswa sering mengalami masalah tekanan dan kekurangan nutrien khususnya vitamin C. Tubuh badan kita amat memerlukan makanan tinggi antioksida seperti vitamin C yang mudah didapati dari buah-buahan seperti kiwi, oren dan epal.

Selain itu, pengambilan serat juga penting. Serat boleh didapati dalam semua jenis buah dan sayur yang boleh memberi kesan baik ke atas tubuh badan kita.

Selain pemilihan makanan, kita juga digalakkan untuk meningkatkan aktiviti bersenam. Apa yang perlu dilakukan adalah mudah sahaja dengan berjalan santai 30 hingga 45 minit sehari mengikut kemampuan masing-masing. Pastikan juga badan mendapat rehat yang cukup serta tidur mengikut waktu.

Kesimpulannya, asas diet adalah dengan mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan dalam jumlah sederhana kerana tiada satu pun jenis makanan yang dapat memenuhi kesemua keperluan fizikal badan.

Oleh itu, diharapkan tip mudah yang disediakan ini mampu membantu mahasiswa yang ingin berdiet dengan mengamalkan pemakanan seimbang, tanpa perlu berlapar dan tidak perlu mengikat perut.

SITI NURHANANI SAMSIR

UPM Serdang