Isu restoran kotor bukan sahaja berlaku di Seremban, malah turut dikesan terjadi di tempat-tempat lain termasuk di Lembah Klang. Sikap pengotor pengendali premis makanan 24 jam itu dapat dilihat melalui keadaan dapur dipenuhi sarang labah-labah dan najis tikus yang sangat menjijikkan.

Diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama jabatan berkaitan dapat menjalankan operasi pemeriksaan secara lebih kerap bagi memastikan restoran berkenaan sentiasa bersih.

Tindakan tegas harus dikenakan terhadap pemilik restoran yang tidak menyediakan apron untuk dipakai pekerja, membiarkan makanan dihurung lalat dan melakukan kitar semula makanan yang tidak terjual.

Dicadangkan premis yang telah dikenakan kompaun serta pernah pula diarahkan tutup untuk beberapa minggu diletakkan pelekat yang memaparkan gred D di hadapan atau kaunter bayaran restoran untuk jangka masa tertentu supaya menjadi pengajaran kepada pemilik perniagaan itu untuk sentiasa menjaga kebersihan.

Kalau dahulu gerai yang terletak berhampiran dengan longkang tidak dibenarkan lagi beroperasi di sekitar bandar besar kini tindakan sama perlu dikenakan terhadap restoran yang nampak bersih di luar tetapi keadaan dapurnya cukup kotor.

Kita kena bertegas dalam menjaga kebersihan di restoran terutama yang beroperasi 24 jam. Jangan sampai kita termakan air kencing tikus dan tahi cicak.

 

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Negeri Sembilan