Peningkatan kecenderungan bunuh diri itu harus dilihat dengan serius kerana boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan mental.

Pakar psikologi, Dr. Adrian Lim, baru-baru ini, pula menyifatkan penyakit mental sebagai ‘pembunuh senyap’ dan mesti dirawat sewajarnya, lebih-lebih lagi apabila pesakit masih muda.

Beliau berkata, kekangan kewangan serta masalah keluarga dan kerjaya adalah antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental.

Dalam pada itu, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus daripada keseluruhan penduduk, mengalami pelbagai masalah mental. Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006.

Kerajaan perlu melancarkan kempen secara intensif untuk menggalakkan individu menghadapi masalah kemurungan mendapatkan bantuan dari pusat penjagaan kesihatan mental komuniti atau hospital.

Pada masa sama, kerajaan harus menyelesaikan isu kekurangan pakar kompeten untuk menangani masalah kesihatan mental, terutama ahli psikologi klinikal yang berjumlah hanya 140 orang di seluruh negara.

Pakar psikiatri adalah doktor perubatan dan boleh memberikan ubat manakala ahli psikologi klinikal memfokuskan aspek psikoterapi dan merawat penderitaan emosi, mental serta tingkah laku pesakit.

Malaysia juga menghadapi kekurangan ahli psikiatri dan pada masa ini hanya terdapat 360 pakar berdaftar di sektor awam dan swasta.

Nisbah ahli psikiatri dengan jumlah penduduk di Malaysia adalah 1: 200,000. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding nisbah 1:10,000 yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

TAN SRI LEE LAM THYE

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental