Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tingginya martabat ibu

SEMEMANGNYA jasa ibu tidak terbalas dengan apa jua cara sekalipun
SEMEMANGNYA jasa ibu tidak terbalas dengan apa jua cara sekalipun namun meraikan mereka dalam satu sambutan khas seperti Hari Ibu sekurang-kurangnya mampu menceriakan kehidupan seorang wanita yang bergelar ibu. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Saudara Pengarang,
IBU bapa adalah orang yang paling penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka kita tidak akan lahir ke dunia ini. Oleh itu kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa, layanilah dan peliharalah mereka dengan baik lebih-lebih lagi jika masing-masing telah menginjak usia tua.

Lantaran itu, untuk sambutan Hari Ibu yang jatuh pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun, anak-anak disaran meraikannya demi mengenang jasa ibu yang selama ini telah berkorban masa, tenaga, emosi dan wang semata-mata mahu membesarkan kita.

Sememangnya jasa ibu tidak terbalas dengan apa jua cara sekalipun namun meraikan mereka dalam satu sambutan khas seperti Hari Ibu sekurang-kurangnya mampu menceriakan kehidupan seorang wanita yang bergelar ibu.

Memang tidak dinafikan sambutan Hari Ibu bukanlah sesuatu yang dimestikan tetapi tiada salahnya anak-anak sama-sama berpakat untuk meraikan hari istimewa berkenaan mengikut kemampuan.

Bayangkan, ibulah insan yang mengandungkan kita selama sembilan bulan sepuluh hari dan kemudian membesarkan, mengasuh dan mendidik kita dari bayi hinggalah dewasa bersama-sama bapa. Kedua-dua mereka langsung tidak berkira dan akan berusaha memenuhi segala permintaan meskipun di saat itu ibu bapa kita putus duit.

Mereka sanggup buat apa sahaja untuk cuba memenuhi hajat kita ini meskipun terpaksa bergolok-bergadai apatah lagi jika berkaitan dengan pelajaran. Oleh itu sewajarnya anak-anak menghargai segala pengorbanan ini dan Hari Ibu adalah hari paling sesuai untuk menunjukkan penghargaan tersebut.

Islam sendiri amat menuntut setiap anak-anak menghormati kedua ibu bapa. Malah dalam al-Quran ada disebut tentang tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa. Bahkan dalam Surah al-Isra’ ayat 23 Allah berfirman:”.....Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan ‘ah’. Janganlah engkau menengking mereka sebaliknya katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Apakah mesej yang mahu disampaikan dalam ayat berkenaan. Ayat di atas menuntut kita berbicara dengan mulia dengan ibu bapa. Dilarang sama sekali mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti hati mereka walaupun hanya sekadar ah, oh atau uh. Jika keadaan itu berlaku nescaya kita telah melakukan dosa yang amat besar di sisi Allah SWT.

Berkaitan perkara sama juga saya tertarik dengan satu hadis Rasulullah SAW yang telah mengangkat martabat ibu daripada bapa.

Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata, seseorang datang kepada Rasulullah SAW berkata,“Wahai Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti untuk pertama kali? Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Sekali lagi lelaki ini bertanya,”Kemudian siapa lagi?” Rasulullah, “Ibumu.” Lelaki ini bertanya kembali, “Siapa lagi?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Lelaki ini menyambung pertanyaannya,” kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab,”Ayahmu.”

Hadis di atas menunjukkan betapa tingginya kedudukan ibu. Sungguhpun begitu kita wajib menghormati dan mengasihi kedua-duanya. Tidak dinafikan pengorbanan ibu tiada tolok bandingnya tetapi jasa bapa juga tidak kurang hebatnya.

Bapa berperanan mencari rezeki dan nafkah, pada masa yang sama menjadi pelindung kepada keluarga. Bapa juga bersama-sama dengan ibu mendidik anak-anak agar mereka menjadi insan yang beriman, berakhlak dan bertakwa.

Seperkara lagi kita perlu sedar, betapa masyhurnya kita, betapa kayanya kita, betapa besarnya pengaruh kita, tetapi kegagalan kita memuliakan, mengasihi, menghormati dan berbakti kepada kedua ibu bapa, segala kehebatan yang dikecapi tidak akan ke mana.

Malahan akan menjadi punca kepada kemurkaan Allah dan menjadi punca kepada kehancuran kita pada satu hari nanti. Justeru, mulai saat ini marilah sama-sama kita berazam untuk menjadi anak yang soleh dan anak yang sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapanya.

Seandainya kedua-duanya atau salah seorangnya telah meninggal dunia, sebagai anak kita titipkan doa untuk mereka. Mudah-mudahan doa ini akan menjadi bekalan amal sepanjang berada di alam barzakh. Selamat Hari Ibu.

DR. AMINUDIN MANSOR
Universiti Kebangsaan Malaysia

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain