Setibanya kami di Kilometer 301.02 arah utara, tiba-tiba ada serpihan tayar lori treler melintang di tengah-tengah lebuh raya dan saya tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.

Impaknya sangat kuat dan apabila kenderaan diperiksa, bampar depan saya rosak teruk selain enjin mengeluarkan bunyi bising. Saya menghubungi pihak PLUS untuk memohon bantuan. Setelah menunggu lebih 45 minit dalam kegelapan, kakitangan PLUS datang dan membantu saya.

Mengikut kenyataan pegawai PLUS dan juga polis lebuh raya, kes sedemikian sering berlaku dan ada juga yang mengakibatkan kematian kepada pengguna kerana kebanyakan lori dan treler menggunakan tayar celup.

Apa yang amat menghairankan, sebelum kenderaan komersial tersebut berada di atas jalan raya, ia perlu menjalani pemeriksaan di Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagaimana perkara ini boleh diluluskan dan tiada tindakan keras dikenakan terhadap pengusaha lori yang menggunakan tayar celup?

Keesokan hari, kami meneruskan perjalanan dengan menyewa kenderaan lain namun apabila menghampiri kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, tiba-tiba sebiji tayar treler yang sedang bergerak laju meletup dan serpihan tayar itu bertaburan di atas lebuh raya. Sebuah kenderaan di hadapan saya tidak sempat mengelak lalu melanggar serpihan tersebut.

Saya amat mengharapkan pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pengusaha lori yang menggunakan tayar celup. Tindakan sama juga perlu dikenakan terhadap bengkel atau kedai menjual tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi supaya tiada lagi yang menjualnya.

PENGGUNA LEBUH RAYA

Ampang Jaya, Selangor