Setiap tahun ada sahaja insentif baharu sama ada kenaikan gaji, bonus, potongan cukai, penurunan harga serta banyak lagi.

Namun, dengan pelbagai perkembangan dan dasar kerajaan yang memerintah masa kini, semua itu nampaknya sudah tiada. Malah, dasar-dasar yang diucapkan oleh wakil kerajaan seperti menteri, memperlihatkan kemungkinan besar tiada apa yang menarik. Malah, tiada apa yang akan disajikan kepada rakyat nanti.

Jika semua ini benar, rakyat janganlah mengharap sangat. Rakyat perlu bersedia menerima ‘tamparan’ hebat daripada pengumuman Bajet 2019.

Rakyat juga jangan salahkan kerajaan memerintah kerana bajet yang bakal dibentangkan nanti adalah hala tuju pemerintah. Jangan lagi diharapkan bulan jatuh ke riba. Nasihat saya, lupakan semua itu sama ada bonus, potongan cukai dan sebagainya.

Rakyat perlulah bersedia menghadapi zaman jimat cermat. Kini bukan lagi zaman berbelanja. Zaman meleset?

Apa pun yang bakal diumumkan nanti dalam bajet tersebut, saya doakan ia tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. Ingatlah sekarang ini pun golongan berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi pelbagai masalah.

Harga barang meningkat disebabkan pekedai seolah-olah tidak takut pihak penguat kuasa. Percayalah bahawa rakyat kini terhimpit dengan pelbagai kehidupan disebabkan kos sara hidup meningkat. Contoh paling mudah harga rumah. Saya yakin golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki rumah sendiri. Kalau dapat rumah pun hutang rumah tidak akan selesai walaupun sampai ke anak dan cucu.

Sehubungan itu, kerajaan digesa cubalah sedaya upaya mengurangkan kesulitan dan bebanan yang ditanggung rakyat. Bagilah rakyat dapat tersenyum sejenak buat seketika.

ORANG LAMA


Sungai Petani, Kedah