Ramai yang tidak faham atau salah faham tentang penganugerahan taraf kewarganegaraan Malaysia adalah tidak semudah disangka. Pelbagai proses dan prosedur perlu dipatuhi sebelum mana-mana individu boleh dipertimbangkan untuk menjadi warganegara Malaysia.

Peruntukan undang-undang berhubung dengan kewarganegaraan Malaysia termaktub dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan peruntukan perlembagaan, pemerolehan taraf kewarganegaraan Malaysia ditentukan melalui kuat kuasa undang-undang, melalui pendaftaran atau penaturalisasian.

Individu yang bukan bertaraf warganegara Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan taraf sebagai seorang warganegara Malaysia di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya memenuhi semua syarat yang ditetapkan. Permohonan boleh dikemukakan di pejabat-pejabat JPN di seluruh Malaysia.

Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berusia 21 tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati:

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;

(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(c) bahawa dia berkebolehan untuk bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu yang memadai.

Tempoh pemastautinan yang diperlukan bagi melayakkan seseorang individu mengemukakan permohonan kewarganegaraan adalah selama 12 tahun secara berterusan dan tempoh ini dikira dari tarikh seseorang itu diberi taraf pemastautin tetap.

Selain itu, individu yang memohon untuk menjadi warganegara Malaysia perlulah sentiasa berkelakuan baik dan mematuhi undang-undang negara. Semakan dengan agensi keselamatan akan dibuat bagi memastikan individu yang tidak diingini dan mempunyai rekod jenayah, tidak dipertimbangkan sebagai warganegara.

Bagi menilai tahap penguasaan bahasa Melayu, pemohon dikehendaki menghadiri ujian pengetahuan bahasa Melayu yang dikendalikan oleh Ahli Lembaga Bahasa yang dilantik di Jabatan Pendaftaran Negara. Pemohon-pemohon dikehendaki menduduki ujian lisan dan penulisan.

Setiap permohonan kewarganegaraan ini hendaklah disokong oleh dua orang warganegara Malaysia yang cukup umur (berusia 21 tahun atau lebih) dan telah mengenali pemohon melebihi 10 tahun.

Permohonan yang telah lengkap akan diteliti di peringkat Kementerian Dalam Negeri dan kelulusan akan diberi hanya selepas Menteri Dalam Negeri berpuas hati bahawa pemohon layak diberi kewarganegaraan atau sebaliknya.

Keputusan Menteri Dalam Negeri adalah muktamad dan tiada sebarang rayuan yang dibenarkan. Namun, pemohon yang tidak berjaya boleh mengemukakan permohonan baharu.

Pemohon yang berjaya akan memperoleh Sijil Warganegara selepas mengangkat sumpah taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, menjadi seorang warganegara Malaysia yang sebenar, setia dan jujur.

Pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia adalah satu anugerah tertinggi kerajaan Malaysia yang dikurniakan kepada warganegara asing dan bukan satu hak yang boleh dituntut oleh mana-mana individu.

Sekiranya kerajaan berpuas hati pemohon benar-benar layak sahaja akan dikurniakan taraf kewarganegaraan Malaysia.

Berdasarkan penerangan tersebut, adalah diharapkan orang ramai untuk tidak mudah terpengaruh dengan janji manis mana-mana individu atau agen yang mendakwa boleh membantu mereka mendapatkan kewarganegaraan dengan mudah.

Oleh itu, orang ramai diminta untuk berurusan terus ke JPN terdekat di seluruh negara atau boleh menghubungi JPN di talian 03-8000 8000 atau emel ke [email protected] Maklumat berkenaan JPN juga boleh dilayari di Portal JPN, www.jpn.gov.my dan media sosial JPN iaitu di Facebook, Twitter dan Instagram.

RAMZI BRAHIM

Penolong Pengarah Gred KP44, Bahagian kewarganegaraan 
(BWN) JPN, Putrajaya