KES memandu melawan arus berulang dan kali ini seorang lagi insan tidak bersalah menjadi mangsa dan disahkan meninggal di tempat kejadian disebabkan seorang gadis muda dipercayai mabuk dan khayal disebabkan dadah memecut melarikan diri dari satu kes kemalangan lain.

Ini bukan kali pertama dan rasanya bukan kali terakhir memandangkan aksi memandu melawan arus ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih menyakitkan hati, pengguna jalan raya lain pula yang cedera atau maut sedangkan pesalah cuma cedera ringan.

Kenapa masih ada yang berani memandu melawan arus? Kerana hukumannya ringan dan perbicaraan mengambil masa terlalu lama sehinggakan mereka mempunyai banyak peluang mencari taktik dan alasan melarikan diri daripada dihukum.

Saya harap Peguam Negara dan semua Ahli Parlimen Malaysia meminda akta dan peruntukan hukuman supaya memandu melawan arus ini dikenakan hukuman berat kerana membahayakan nyawa orang lain.

Setakat denda, hukuman ringan atau penjara beberapa bulan tidak dapat menjadi iktibar dan pencegah agar orang lain tidak melakukan kesalahan sama.

Fikirkan perasaan keluarga mangsa kes terbaharu ini, Allahyarham baru berkahwin dan isterinya sedang mengandung anak pertama. Apa perasaan anda jika yang terbunuh itu pasangan atau ahli keluarga sendiri?

SILA MENINGGAL

Permatang Pauh, Pulau Pinang