Kerajaan sebelum ini telah bersetuju mengeluarkan kad berkenaan dan tempoh untuk majikan berbuat demikian bermula pada 15 Februari 2017. Namun sehingga tempoh itu tamat pada 30 Jun lalu, hanya 23 peratus atau 155,680 daripada 600,000 PATI didaftarkan majikan bagi mendapatkan E-Kad.

Bayangkan, 26,957 majikan sahaja dilihat ‘berminat’ mendapatkan E-Kad yang berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah. Saya yakin masih banyak lagi majikan yang tergolong dalam lima sektor ekonomi di luar sana yang menggaji PATI secara haram.

Lima sektor ekonomi yang telah dikenal pasti memerlukan pekerja asing adalah sektor pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.

Pada 17 Januari 2017, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengeluarkan E-Kad kepada PATI yang bermajikan.

Selain PATI mesti mempunyai majikan, syarat lain untuk mereka layak sertai program itu ialah PATI tidak mempunyai rekod jenayah, rakyat dari negara sumber yang dibenarkan, tiada kes lari daripada majikan dan lulus pemeriksaan kesihatan.

Dilaporkan E-Kad hanya sah sehingga 15 Februari 2018 dan dalam tempoh itu PATI serta majikan perlu mendapatkan pasport dan dokumen perjalanan yang sah dari kedutaan masing-masing bagi tujuan pemutihan.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menyokong penuh Jabatan Imigresen untuk meneruskan operasi besar-besaran bagi menangkap PATI yang masih tidak didaftarkan di bawah program E-Kad. Sepatutnya tiada lagi simpati terhadap PATI setelah peluang selama tiga bulan diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian.

Sebarang alasan termasuk menyalahkan tindakan kerajaan mengenakan separuh daripada yuran pemprosesan E-Kad kepada majikan menjadi antara punca utama ramai PATI gagal mendapatkan kad berkenaan yang tamat tempoh permohonan pada 30 Jun lalu tidak harus dijadikan isu besar.

Sebaliknya, kesalahan perlu ditanggung majikan PATI kerana sengaja menunggu saat akhir untuk mendapatkan E-Kad. Pada hemat saya, kedua-dua pihak yang gagal berbuat demikian perlu dikenakan tindakan undang-undang. Rakyat perlu sedar, isu kebanjiran pekerja asing di Malaysia ini serius kerana melibatkan keselamatan, kesihatan dan kedaulatan negara. Berkaitan penahanan PATI, kita boleh jangkakan kem tahanan yang menempatkan mereka di seluruh negara kelak menjadi sesak, manakala kerajaan pula terpaksa menanggung kos tambahan untuk menyelenggara PATI yang ditahan sebelum mereka dipindahkan ke pusat-pusat tahan dan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Perlu ingat, kos tambahan itu sebenarnya adalah peruntukan kewangan yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat Malaysia, bukan PATI! Justeru saya syorkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi menangani masalah berkaitan:

* Mewajibkan majikan PATI menanggung kos perbelanjaan setiap pekerja mereka yang ditahan di pusat-pusat tahanan PATI.

* Kedutaan dan majikan PATI perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Imigresen dalam proses penghantaran PATI pulang ke negara asal mereka selain menanggung keseluruhan kos pengangkutan dan makan minum PATI.

* Mewajibkan pemakaian tag pengenalan diri ke atas pekerja asing (seperti jemaah haji di Tanah Suci).

* Mengenakan penalti berat ke atas pekerja asing yang menetap melebihi had masa dibenarkan di negara ini.

WARGANEGARA RIMAS DENGAN PATI

Ampang