Subjek dalam tuntutan permohonan kali ini adalah berkaitan Piala Kejohanan Eropah UEFA. Ini berlaku di Amerika Syarikat (AS). Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah memohon perlindungan hak cipta bagi piala pertandingan tersebut sebagai sebuah arca yang kreatif.

Malangnya, pada 18 September 2018, permohonan UEFA telah ditolak (untuk kali ke dua dan muktamad) oleh Pejabat Hak Cipta AS. Alasannya, piala tersebut tidak menampilkan sebarang elemen ‘keaslian’ (originality).

Di AS, elemen keaslian bermaksud karya itu mestilah bukan hasil ciplak daripada orang lain dan perlu menunjukkan sedikit sentuhan kreatif.

Elemen ini perlu dibuktikan sekiranya ingin mendapatkan perlindungan hak cipta.

Dalam proses permohonan, UEFA berhujah bahawa piala mereka mempunyai elemen keaslian.

Pemegang pialanya yang bergulung serta reka bentuk piala yang tampak bagai sebuah arca eksklusif dan berprestij itu boleh dikatakan bukti hasil daripada kerja tukang yang halus dan kreatif.

Namun, Pejabat Hak Cipta AS tidak bersetuju. Mereka mengatakan Piala UEFA itu sebenarnya nampak mirip dengan piala-piala seramik yang pernah dihasilkan dari zaman Greek.

Mereka menambah, Piala UEFA itu seolah-olah sekadar suatu modifikasi daripada piala seramik yang pernah wujud sebelum ini. Justeru, itu belum cukup kuat untuk mengatakan yang piala UEFA adalah sebuah arca yang telah memenuhi tuntutan keaslian.

Pada pendapat saya, keputusan Pejabat Hak Cipta AS untuk menolak permohonan UEFA adalah satu keputusan yang berasas. Jika dibandingkan dengan Piala Vince Lombardi (untuk acara football di AS). Piala Vince Lombardi nampak lebih unik, kreatif dan berlainan daripada piala-piala sedia ada.

Selayaknya ia mendapat hak cipta. Atas analisis perbandingan ini jugalah Pejabat Hak Cipta AS berpendapat bahawa permohonan UEFA ini tidak sama dengan kes Piala Vince Lombardi.

Kedua, sebagaimana pemilik-pemilik hak cipta lain, antara sebab UEFA cuba mendapatkan hak cipta bagi piala tersebut adalah untuk menikmati kelebihan dari segi tempoh perlindungan hak cipta yang panjang dan ini adalah satu perkara biasa.

Akhir kata, mari kita fikir sejenak tentang piala-piala dalam lapangan sukan di negara kita serta rantau ASEAN (Piala Malaysia dan Piala AFF Suzuki).

HELMI KHAIR

UiTM Negeri Sembilan