Untuk makluman, pada Februari tahun lalu saya membawa anak saya ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya disebabkan masalah sakit belakang selain kebas pada pergelangan tangan dan kaki.

Setelah pemeriksaan dijalankan, pegawai perubatan memaklumkan anak saya perlu ditahan di wad bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami sakit belakang kronik dan perlu dirujuk ke Bahagian Ortopedik dengan segera.

Ketika membuat pendaftaran untuk kemasukan ke wad, saya diminta menjelaskan deposit kemasukan sebanyak RM1,100, namun saya hanya mampu menyediakan RM300. Tanpa budi bicara, kakitangan unit itu meminta saya membawa anak ke hospital lain walaupun keadaannya pada ketika itu agak serius.

Saya kecewa kerana layanan sedemikian diterima dari sebuah hospital kerajaan walaupun saya telah membuat rayuan agar mereka mengurangkan bayaran deposit atau memberikan tempoh sekurang-kurangnya sehari.

Setelah beberapa bulan, saya dimaklumkan pesakit tetap boleh dimasukkan ke wad dan boleh menjelaskan baki bayaran selepas selesai rawatan. Namun menjadi persoalan mengapa kakitangan hospital tidak memberikan maklumat yang tepat ketika saya menghantar anak pada masa tersebut?

Tindakan mereka yang enggan menerima anak saya pada ketika itu menyebabkan penyakitnya bertambah serius dan kini telah lumpuh. Sekiranya pihak hospital menyediakan kakitangan yang mahir, pastinya kejadian tersebut tidak berlaku dan mungkin keadaan anak saya tidak seperti sekarang.

Saya amat berharap agar kejadian malang yang menimpa saya tidak akan berulang dan pihak hospital perlu memastikan pekerja mereka benar-benar mahir dalam mengendalikan kes-kes seperti ini.

FAHAIZAL ZEE 
MOHD. JAAPAR

Bapa OKU