Hanson dikatakan memakai niqab untuk menarik perhatian orang ramai khususnya dalam kalangan anggota dewan senat negara itu. Beliau mendakwa pemakaian niqab boleh menjejaskan keselamatan Australia serta dikaitkan dengan isu keganasan.

Setelah memakai niqab selama 20 minit, Hanson menanggalkannya dan melontar persoalan kepada Peguam Negara Australia, George Brandis dengan bertanya: “Adakah pihak kerajaan akan berusaha mengharamkan niqab di Australia berdasarkan isu keselamatan negara?”

Brandis dalam jawapannya menegaskan kepada Hanson bahawa kerajaan Australia tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian di samping memberi amaran kepada Hanson yang berisiko menyinggung perasaan umat Islam di negara itu dengan memakai niqab kerana jelas sekali beliau bukan Muslim.

Bagaimanapun, Hanson dilihat bukan sahaja masih tidak menyesal dengan tindakannya itu malah berharap mesej melalui tindakannya dapat disampaikan kepada semua pihak. Ini bukanlah satu isu yang jarang didengari oleh kita.

Pada tahun lepas juga tindakan sama dilakukan beberapa buah bandar di Perancis yang mengambil langkah untuk mengharamkan penggunaan burkini (pakaian mandi dan fesyen renang menutup aurat khusus untuk wanita Islam) atas alasan sama seperti didakwa Hanson.

Semua ini jelas menunjukkan sikap prejudis, diskriminasi serta hipokrasi sesetengah daripada masyarakat Barat yang terus wujud terhadap umat Islam. Perlu diketahui, sehingga kini masih tidak terdapat bukti kukuh yang mengaitkan pakaian niqab dan burkini dengan ancaman keselamatan atau keganasan.

Malah dalam satu kajian di Amerika Syarikat baru-baru ini mengatakan bahawa kebanyakan tragedi keganasan di negara itu dilakukan oleh golongan berhaluan kiri yang ekstrem serta taksub dengan fahaman-fahaman radikal tertentu seperti fahaman Ketuanan Kulit Putih, Neo-Nazi dan Neo-Fasis.

Kita juga telah dikejutkan pada minggu lalu dengan siri keganasan berlaku di bandar Charlottesville, Virginia yang dilakukan oleh golongan ekstremis kulit putih. Adakah terdapat mana-mana pihak yang dilihat memakai niqab dalam siri keganasan itu? Jawapannya adalah tidak sama sekali!

Oleh itu, untuk mengaitkan pakaian yang sinonim dengan masyarakat Islam dengan isu keselamatan negara atau keganasan adalah tidak wajar serta harus dihentikan serta-merta.

Masyarakat Barat perlu ketahui bahawa kegiatan keganasan dilakukan mana–mana kumpulan militan menggunakan agama Islam tidak mewakili masyarakat Muslim secara keseluruhannya yang berjumlah lebih 1 bilion di serata dunia.

Kegiatan militan itu bukan sahaja tidak mendapat sokongan umat Islam malah turut mendapat kecaman masyarakat Muslim sendiri. Oleh itu, adalah tidak wajar jika mereka berterusan mengaitkan pemakaian niqab dan burkini dengan isu keselamatan atau keganasan.

Seluruh penduduk dunia termasuk umat Islam mempunyai hak untuk dilindungi. Ini selaras dengan prinsip Deklarasi Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang turut dipelopori oleh semua negara barat termasuk Australia sendiri yang menjamin prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang serta mencegah sebarang unsur diskriminasi terhadap mana-mana individu, masyarakat serta agama dianuti mereka.

Oleh demikian, tindakan diambil segelintir pihak untuk mengharamkan pemakaian niqab, burkini atau mana-mana pakaian yang berkait rapat dengan soal agama dan budaya individu tidak seharusnya berlaku terutama jika mahu negara mereka kekal relevan sebagai pejuang segala bentuk hak asasi manusia seperti diperuntukkan dalam deklarasi serta konvensyen antarabangsa yang mempertahankan prinsip hak asasi manusia.

Sebarang usaha pengharaman yang ingin diambil mungkin akan disalahtafsirkan oleh masyarakat Islam serta membantutkan langkah untuk memerangi pengganas sebenar.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia