Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pada pandangan peribadi saya adalah satu langkah mundur ke belakang bagi Malaysia yang disasarkan bakal mencapai status negara maju tidak lama lagi.

Memetik kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation, Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal, negara akan kehilangan sumbangan pendapatan negara kasar yang dianggarkan bernilai RM209 bilion sekiranya projek ini dibatalkan.

Projek ini dijangka mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi di sepanjang laluannya.

Di negara-negara maju seperti di Eropah, sistem pengangkutan awam rel dan bas mereka sangat moden dan boleh diharapkan. Pengguna boleh bergerak dari satu bandar ke bandar lain serta adakalanya melintasi batas sempadan negara dengan mudah dan pantas.

Bukanlah perkara pelik melihat golongan profesional dan berpangkat tinggi menaiki pengangkutan awam di negara maju, Jika kita ambil contoh negara jiran kita, Indonesia, negara berkenaan agak ketinggalan dari segi pengangkutan awam yang moden berbanding Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Tetapi kini mereka sedang membangunkan sistem pengangkutan awam berasaskan rel dengan kadar agak pantas. Beberapa projek sedang berjalan iaitu projek MRT dan LRT Jakarta, LRT Palembang serta Projek Kereta Cepat (HSR) Jakarta-Bandung.

Projek ini diberi keutamaan serius oleh pemerintah Indonesia. Seharusnya kerajaan kita mengambil langkah yang sama.

Kini rakyat tertanya-tanya apakah projek-projek lain yang sedang dalam pembinaan seperti Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran 3 (LRT3) Bandar Utama-Klang dan Projek Landasan Berkembar (EDTP) Gemas-Johor Bahru akan berdepan risiko dibatalkan.

Saya pasti ramai yang berharap agar projek-projek ini dapat diteruskan kerana kesan positifnya dalam jangka panjang adalah melebihi kos yang terpaksa dilaburkan.

Dijangkakan banyak peluang pekerjaan yang dapat dicipta semasa kerja pembinaan dan apabila ianya beroperasi kelak.

Masalah aliran trafik di lebuh raya yang semakin sesak akibat pertambahan kenderaan sedikit sebanyak dapat dikurangkan jika semakin ramai yang memilih untuk menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan peribadi.

Kadar kemalangan jalan raya dijangka menurun, begitu juga dengan pembaziran subsidi bahan api dapat diminimumkan.

Meskipun kerajaan telah bertukar tetapi harapan saya agar pentadbiran sekarang dapat menyambung agenda penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam buat manfaat rakyat.

M. FAISAL

Kuala Lumpur