DUA minggu sebelum menjelang tahun 2018, banyak pihak termasuk korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menganjurkan program kembali ke sekolah berlangsung bertujuan meringankan golongan yang memerlukan. Program tersebut berupa sumbangan keperluan persekolahan seperti penyediaan pakaian sekolah, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis.

Lebih menarik lagi terdapat pihak yang menganjurkan program gunting rambut secara percuma disediakan khusus untuk pelajar-pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan mereka hari ini. Meskipun nilainya dari pandangan sesetengah pihak adalah kecil namun bagi golongan memerlukan khidmat sebegini sudah tentu amat diperlukan.

Hakikatnya, upah gunting sekarang bukannya murah lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar. Rata-rata pengusaha akan mengenakan bayaran antara RM5 hingga RM10 untuk seorang anak. Bayangkan jika seorang bapa mempunyai lebih tiga orang anak lelaki bersekolah, berapakah jumlah wang yang terpaksa dikeluarkan untuk gunting rambut sahaja?

Saya percaya, dengan adanya program gunting rambut secara percuma ini, sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban sebahagian daripada kita. Walaupun belanja gunting rambut tidaklah sebesar mana berbanding kos menyediakan kelengkapan persekolahan namun program itu tetap membantu.

Sebagai contoh, telah berlangsung program gunting rambut percuma di Slim River, Perak dan Hulu Bernam, Selangor pada 31 Disember 2017. Program ini melibatkan anak-anak sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun di kawasan sekitar.

Sememangnya program sebegini amat dinanti-nantikan oleh masyarakat kerana dapat meringankan kos gunting rambut, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai bilangan anak lelaki yang ramai.

Kita bukanlah mengajar masyarakat untuk selalu meminta ataupun meneruskan budaya subsidi tetapi program yang berbentuk bantuan seumpama ini mampu meringankan beban golongan terlibat. Tambahan pula Islam menuntut setiap umatnya menghulur tangan membantu saudara-saudara kita sama ada dalam bentuk tenaga mahupun kewangan.

Justeru, bagi saya program sebegini wajar diteruskan demi kesejahteraan hidup rakyat. Saya juga menghargai pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh tukang-tukang gunting atas perkhidmatan yang diberikan. Tanpa mereka program ini tidak akan berjaya. Mereka bekerja tanpa rasa lelah dan letih. Di wajah mereka jelas menggambarkan kepuasan.

Dalam pada itu saya amat berharap penganjuran program gunting rambut percuma ini bukan sahaja dibuat pada awal tahun untuk sesi persekolahan tahun baharu, malah turut diadakan selepas cuti panjang persekolahan. Sebagai contoh pada Mac, Jun dan Ogos. Saya yakin rakyat amat menghargainya.

Sewajarnya corak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjiwa rakyat perlu dicontohi oleh setiap pemimpin sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen. Ini sahaja formula terbaik dalam usaha kita memenangi hati rakyat.

Tidak boleh dinafikan rakyat amat memerlukan pemimpin berjiwa rakyat. Dengan kata lain kita amat memerlukan pemimpin yang dapat merasai denyut nadi rakyat dan bukannya pemimpin yang hanya pandai bercakap namun tidak mahu membantu rakyat.

Dalam perkembangan ber­kaitan saya juga ingin mengesyorkan agar program gunting rambut percuma ini diperhebatkan lagi. Buat permulaan kita boleh anjurkan di peringkat daerah dan kemudian negeri. Saya cukup yakin jika program ini diperluaskan sehingga peringkat daerah dan negeri, ramai dalam kalangan rakyat akan mendapat manfaatnya.

AHMAD

Hulu Bernam