Cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), isu penghinaan terhadap agama Islam dan perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin lantang jelas menunjukkan perlunya kedua-dua parti itu bekerjasama dengan lebih rapat.

Kerjasama politik ini akan dapat menawar satu pilihan baharu kepada rakyat Malaysia selain kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara sekarang.

Kerjasama UMNO dan Pas ini boleh disifatkan sebagai goverment in waiting kerana ramai pengundi kini kecewa dengan prestasi kerajaan PH yang telah memerintah negara selama 10 bulan.

Malaysia kini dikenali sebagai negara yang berpolitik selama 24 jam sehari apabila kerajaan PH yang diberi kepercayaan oleh rakyat nampaknya tidak boleh lari daripada watak pembangkang apabila setiap program dijalankan dikaitkan dengan politik.

Usaha untuk membantu rakyat dari segi mengurangkan kos sara hidup, menyediakan perumahan mampu milik dan pendidikan serta kesihatan terbaik untuk penduduk tidak perlulah dikaitkan dengan politik.

Tindakan kerajaan PH adalah sebaliknya. Misalnya, ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih baru-baru ini, penduduk dijanjikan akan mendapat sebuah hospital.

Apabila calon Barisan Nasional (BN) yang menang, hospital telah ditukar menjadi klinik kesihatan sahaja.

Rakyat juga kecewa dengan aksi lompat wakil rakyat UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana rakyat di kawasan tersebut memilih mereka atas nama parti lama.

Sepatutnya jika mahu melompat, mereka perlu meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Saya juga menyokong kenyataan MCA dan MIC yang menyatakan kedua-dua parti itu tiada masalah jika UMNO dan Pas mahu bekerjasama.

Ini adalah tindakan yang matang oleh parti yang benar-benar ingin meraikan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.

H.H.H

Selangor