Kira-kira 4.7 juta perokok di negara ini telah menghembuskan lebih 60 jenis bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok dan boleh menyebabkan kanser.

Malangnya, 80 peratus rakyat Malaysia yang tidak merokok terdedah kepada bahan kimia yang bebas berterbangan dan dihembuskan ke persekitaran mereka.

Langkah terbaharu kerajaan ini adalah bagi memenuhi hak rakyat Malaysia yang tidak merokok. Mereka sudah tentu tidak mahu terdedah kepada asap rokok dan cuba melindungi diri daripada bahan kimia terbabit yang boleh menyebabkan kanser.

Perokok pasif ini termasuk orang tua, wanita, kanak-kanak dan bayi yang semuanya boleh dijangkiti penyakit berkaitan asap rokok seperti mana perokok itu sendiri.

Asap tidak mengenal sempadan fizikal kerana jika ia mengenal sempadan, maka asap daripada kebakaran hutan di Indonesia tidak akan mengganggu Malaysia memandangkan asap itu hanya terkepung dalam sempadan negara berkenaan.

Bagaimanapun, CAP kecewa dengan pemilik restoran di negara ini yang menentang langkah kerajaan menguatkuasa pengharaman sepenuhnya aktiviti merokok di kedai mereka.

Ingin ditegaskan di sini bahawa objektif pengunjung restoran adalah untuk makan, bukan untuk merokok. Jadi mereka tidak harus bertolak ansur dengan asap rokok yang mengandungi bahan kimia berbahaya yang dilepaskan di sekitar premis makanan.

Janganlah keinginan meraih keuntungan sebanyak mungkin mengatasi matlamat untuk menjaga kesihatan dan keselamatan kita.

Dalam pada itu, CAP berharap kerajaan memperketatkan kawalan di pintu sempadan negara untuk menyekat penjualan rokok haram yang diseludup masuk dan kebiasaannya mempunyai lebih banyak bahan kimia berbahaya.

Rokok jenis ini yang dijual lebih murah akan menggalakkan tabiat merokok. Pihak berkuasa perlu meningkat serbuan bagi menghapus ancaman rokok haram.

CAP mencadangkan individu yang ditangkap menjual produk seludup agar harta mereka dirampas di samping dikenakan hukuman penjara mandatori.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP