Selain cabaran Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 di China yang sudah berakhir, dua atlet kita akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan dari 9 hingga 25 Februari ini. Seterusnya, tumpuan terarah ke Gold Coast, Australia yang bakal menyaksikan atlet negara beraksi di Sukan Komanwel 2018 dari 4 hingga 15 April.

Diharapkan dapat diulangi kejayaan Sukan Komanwel 1998 yang menyaksikan kontinjen Malaysia selaku tuan rumah memperoleh 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa yang berjumlah 36 kesemuanya. Jumlah itu menyamai keseluruhan pingat diperoleh atlet negara ini dalam kejohanan itu dari 1950 hingga 1994.

Aksi diteruskan dengan penyertaan Malaysia dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia yang bakal berlangsung dari 18 Ogos hingga 22 September.

Bagi memastikan atlet mencapai prestasi cemerlang, Institut Sukan Negara (ISN) perlu memainkan peranan untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai sains sukan termasuk aspek fisiologi, pemakanan, sosiologi dan psikologi.

Pengetahuan sains sukan membolehkan atlet memahami tindak balas manusia seperti sistem tubuh dan sumber tenaga dalam menjalankan setiap aktiviti. Selepas perkara tersebut dikaji, jadual dan aktiviti dapat dijalankan secara sistematik dan berkala.

Pemantauan berkala perlu dijalankan bagi memastikan program meningkatkan kekuatan dan penyesuaian fizikal ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya.

Saya percaya jika semua elemen ini digabungkan, atlet Malaysia boleh menjadi jaguh yang mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa.

MUHAMMAD SHAHRUL NAIM

Negeri Sembilan