Antara permainan video yang kini dianggap sebagai e-sukan adalah WarCraft, Counter Strike, FIFA19, Dota 2 dan Mobile Legends. Permainan itu berbeza daripada sukan biasa yang dimainkan secara fizikal seperti badminton, bola sepak, bola tampar dan hoki.

Walaupun e-sukan menggunakan sedikit pergerakan fizikal, tetapi keupayaan minda individu diperlukan sepenuhnya untuk memenangi sesuatu pertandingan selain pergerakan tangan atau jari yang pantas serta kecekapan mata menangkap imej di skrin.

Saya berharap rakyat Malaysia yang mempertikaikan dana yang diperuntukkan kerajaan untuk e-sukan supaya bersikap terbuka dan melihat negara-negara lain yang menyediakan bajet lebih banyak kepada bidang itu kerana menyedari potensi besar yang boleh disumbang dalam pelbagai aspek.

Kita tidak harus ketinggalan dalam membangunkan e-sukan di negara ini serta melahirkan pemain yang berkaliber sama ada di peringkat amatur, separuh profesional dan profesional yang dapat turut serta dalam pertandingan bertaraf dunia seperti World Cyber Games (WCG) dan Global Starcraft II League (GSL) yang menawarkan hadiah lumayan.

Salah satu acara yang menjadi tumpuan adalah WCG yang melibatkan pertandingan mengikut benua yang dianggap bertaraf Sukan Olimpik.

Malaysia juga telah menganjurkan The Kuala Lumpur Major untuk permainan Dota 2 di Axiata Arena, Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 November lalu.

Pada masa sekarang, Malaysia sudah mempunyai pemain profesional dalam bidang e-sukan yang bermain untuk kelab-kelab ternama seperti Yeik Nai Zheng atau dikenali sebagai Midone yang bermain untuk pasukan Secret. Ini menunjukkan e-sukan di negara kita sedang meningkat naik terutama dalam kalangan golongan muda.

Dengan adanya e-sukan, golongan muda mempunyai alternatif lain untuk mendapat sumber pendapatan dan menjadikan bidang itu satu kerjaya.

E-sukan yang memerlukan pemain berinteraksi dengan individu lain di seluruh dunia akan dapat melahirkan golongan muda yang mempunyai semangat untuk bersaing di peringkat global.

MUHAMMAD 
FADHIL SAZALI
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)