Berita seumpama itu amat menyedihkan hati sesiapa sahaja bila membacanya apatah lagi yang melibatkan individu pernah bergelar artis terkenal.

Dalam pada itu, penghargaan wajar diberikan kepada Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave yang berusaha menjejaki Ben Nathan dan kemudian membantunya mendapatkan rawatan di hospital.

Sebenarnya, kes sedemikian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada orang Melayu, Cina, India mahupun kaum-kaum lain.

Saya sendiri mengenali seseorang yang pernah bertugas di sebuah universiti yang menjadi gelandangan di tempat kami (Sungai Petani) dan dia telah pun meninggal dunia.

Terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak jemu-jemu membantu golongan gelandangan melalui program-program yang dijalankan.

Saya berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat merangka satu program lebih berkesan bagi membantu golongan gelandangan supaya tidak terus hidup merempat.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah