Namun, harapan saya apabila berada di Terminal Bas Kota Bharu agak mengecewakan. Apa tidaknya, dari segi kebersihan terminal, bilik air dan kedudukan bas-bas ekspres, semuanya seolah-olah dalam keadaan kelam-kabut.

Saya tidak menyalahkan pihak pengurusan sepenuhnya kerana sampah-sarap yang dibuang sesuka hati adalah daripada orang ramai yang berada di situ.

Pada masa sama, pihak pengurusan juga haruslah menegur pengusaha bilik air di terminal berkenaan kerana keadaannya yang kotor. Dengan kata lain, bilik air di Terminal Bas Kota Bharu perlu dinaik taraf demi keselesaan penumpang.

Begitu juga halnya dengan kedudukan bas-bas ekspres. Saya sebagai penumpang agak tertekan kerana terpaksa mencari bas ekspres kerana khuatir terlepas bas.

Pihak pengurusan terminal berkenaan perlu memikirkan satu cara yang lebih sistematik agar kedudukan bas-bas lebih teratur dan tidak kelam-kabut.

Seperkara lagi, terminal tersebut sepatutnya dikawal oleh anggota-anggota polis bantuan yang beruniform kerana ini dapat meyakinkan penumpang bahawa keselamatan mereka sentiasa terjamin seperti di TBS.

Pihak berkuasa juga harus mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai sistem letak kereta kerana terminal tersebut sentiasa sesak dan orang ramai pula berebut-rebut untuk mendapatkan tempat letak kereta.

Harapan saya, Terminal Bas Kota Bharu dapat berubah dari banyak sudut kerana ia menjadi tumpuan orang ramai sepanjang masa. Di samping itu, langkah menaik taraf terminal tersebut dapat memberi ruang lebih luas kepada para peniaga mencari rezeki di situ.

Saya juga ingin melontarkan nasihat kepada pengurusan bas ekspres tertentu agar sentiasa memantau dan menasihatkan kakitangan syarikat masing-masing supaya sentiasalah bersopan santun apabila berurusan dengan penumpang. Saya raya sikap bersopan santun tidak merugikan sesiapa pun.

PENUMPANG REMAJA

Johor