Hal ini merujuk kepada seorang pengacara rancangan komedi terbitan anak syarikat sebuah televisyen swasta baru-baru ini yang mempersendakan nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Video yang memaparkan tindakan pengacara terbabit, Azizul Ammar Abu Hassan menyamakan nama mendiang dengan binatang bukan sahaja telah mendapat kritikan keras oleh para netizen setelah ditularkan dalam internet, bahkan menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu.

Saya yakin, sesiapa pun yang berada di tempat Watson pasti terkesan dengan insiden tersebut. Justeru tidak hairanlah Watson dikatakan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan Watson menolak permohonan maaf yang dibuat pihak Primeworks Studio penerbit rancangan Sukan Tak Sentral dan pengacaranya, Azizul Ammar Abu Hassan atau lebih dikenali Ammar Titan yang telah mempermainkan nama Nyambek dengan membuat bunyi kambing sedang mengembek.

Malah Watson juga telah bertindak lebih jauh dengan membuat laporan polis bagi mendapatkan keadilan kerana kejadian itu bukan perkara main-main dan lawak.

Menyingkap isu lawak berunsur menghina dan memperlekehkan orang, kita tentu masih ingat peristiwa sama menimpa selebriti dan pengacara terkenal dari Singapura, Najip Ali yang digugurkan daripada menjadi juri tetap dalam program Maharaja Lawak Mega terbitan Astro sebelum ini.

Najip menerima ‘hukuman’ itu setelah memperlekeh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi jawapan “Najip with the ‘P’ slams Najib with the ‘B’” seperti dikehendaki dalam program game show terbitan negara jiran itu.

Dari pemerhatian saya, trend pengacara atau pelawak ‘menyerang’ peribadi individu tertentu sebagai bahan lawak seolah-olahnya semakin diterima masyarakat. Senario sebegini sama sekali tidak sihat! Pengacara mahupun pelawak perlu menjaga sensitiviti masyarakat ketika menjalankan tugas.

Perlu ditegaskan, bukan semua benda boleh dijadikan bahan lawak apatah lagi menjadikan individu tertentu sebagai sasaran!

Berkaitan isu itu, saya pernah terganggu dengan salah satu babak persembahan kumpulan pelawak yang melakukan adegan solat sebagai salah satu modal bahan lawak mereka dalam sebuah program live disiarkan sebuah televisyen berbayar.

Apa pun alasan termasuk mewajarkan babak dan dialog itu untuk memberi pengajaran, namun bagi saya, hal sedemikian sangat tidak kena dan seolah-olah mempersendakan agama Islam! Begitupun ketidaksensitifan perkara ini tidak terlalu diambil berat, maka hal ini dibiarkan seperti angin lalu dan dilupakan begitu sahaja.

Berbalik kepada isu Ammar yang juga pelakon membintangi drama Mat Three Four itu pula, kita pelik macam mana pihak penerbit boleh terlepas pandang perbuatan bunyi binatang itu sedangkan siaran tersebut adalah rakaman. Walau bagaimanapun, semuanya telah terlambat. Rakaman tersebut telah pun disiarkan.

Hakikatnya, tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan, dan permohonan maaf adalah sebaik-baik tindakan bagi insan yang sedar dan insaf akan kesalahannya. Namun begitu, kita juga tidak boleh mempertikai di pihak lain yang enggan menerima permohonan maaf kerana itu adalah hak mereka.

Justeru, saya nasihatkan, jagalah kata-kata kita, jangan nanti disebabkan pulut santan binasa, disebabkan mulut badan binasa. Semoga isu ini dapat memberi pengajaran kepada individu lain juga kerana undang-undang tidak mengenal sesiapa.

SN KAMPAR

Kampar, Perak