Apa tidaknya, ahli-ahli Parlimen bukan berbahas untuk rakyat. Sebaliknya lebih suka berbahas dengan membuat kacau.

Nasihat ini saya tujukan kepada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) walaupun melibatkan segelintir orang sahaja.

Semasa menjadi pemerintah, ahli-ahli Parlimen BN dilihat dapat berbahas dengan fakta serta hujah yang bernas serta berilmu.

Tetapi mengapa setelah menjadi pembangkang, mereka seolah-olah hilang arah. Saya lihat ada ahli Parlimen BN lebih suka buat kacau. Jika tidak setuju dengan jawapan wakil kerajaan Pakatan Harapan (PH), maka berhujahlah secara berilmu.

Sesuatu yang memalukan kerana ramai menontonnya secara langsung.

Jika keadaan ini berterusan, sampai bila pun rakyat akan memandang rendah kepada ahli-ahli Parlimen terbabit.

Rasanya tidak rugi jika kita berdebat secara berilmu. Tidak perlu membuat kacau. Tidak perlu memotong cakap wakil kerajaan. Peraturan ada, mintalah kebenaran Speaker Dewan.

Tidak perlu marah-marah dan tidak perlu hendak buat lawak agar dapat perhatian.

Tanpa kita sedari, tindak-tanduk yang dipamerkan itu telah merendahkan diri kita sendiri. Percayalah nasihat saya ini. Kembalikan kewibawaan setiap ahli Parlimen BN supaya rakyat dan akar umbi parti yakin terhadap UMNO dan BN.

AHLI AKAR UMBI UMNO

Sabah