Ini boleh menimbulkan persepsi serong mungkin berlaku campur tangan, tekanan mahupun ugutan terhadap istana. Namun, sebagai rakyat yang taat kepada raja-raja Melayu, keputusan itu perlu diterima dengan hati terbuka.

Buat masa ini kita berpegang sahaja kepada janji kerajaan bahawa apa jua tindakan mereka tidak memberi ancaman terhadap Islam mahupun kedudukan Melayu dan bumiputera.

Bagaimanapun, saya harap Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Bahagian Risikan Tentera sentiasa memantau tindak-tanduk ahli politik tidak kira dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan khususnya aktiviti atau perancangan yang boleh mengancam keharmonian khususnya jika menjejaskan mana-mana bangsa, agama mahupun kedaulatan raja-raja Melayu.

Tidak timbul isu kesetiaan kepada kerajaan kerana anggota keselamatan dan pasukan beruniform perlu setia kepada raja-raja Melayu dan rakyat, bukannya kepada parti atau ahli politik.

Penjawat awam sekadar pelaksana polisi dan arahan kerajaan selagi mana tidak menjejaskan rakyat, raja dan negara. Semoga Allah SWT melindungi bumi bertuah ini.

TEROPONG AJAIB

Semarak, Kuala Lumpur