Artikel memperlihatkan sikap tidak tegas ibu bapa moden dalam mendidik dan mendisiplinkan anak-anak. Contoh jelas dapat dilihat anak-anak tidak ditegur dan dibiarkan bebas bergerak ketika berkunjung ke rumah jiran atau rakan. Malah kata-kata “biasalah budak-budak, bukan tahu apa” dikeluarkan ibu bapa sebagai mewajarkan tindakan anak-anak mereka.

Keadaan sama juga berlaku ketika membawa anak-anak makan di restoran. Ibu bapa membiarkan anak-anak bermain dan membuat bising sehingga mengganggu pelanggan lain. Malah, dalam situasi lain pula ada ibu bapa bertindak memarahi pengawal keselamatan yang menegur mereka agar mengawasi anak-anak yang berlari-lari dalam pusat beli-belah.

Ramai berpendapat isu menegur anak orang ini adalah sensitif dan boleh menimbulkan pergaduhan. Disebabkan tidak mahu bergaduh dan bermasam muka, pada akhirnya isu menegur anak menjadi satu dilema dalam kalangan masyarakat. Sudahnya ramai bertindak ‘membutakan mata’ jika melihat anak orang lain membuat kesilapan.

Anak-anak adalah insan yang masih pendek akalnya dan perlu dibentuk serta diasuh sedari awal usia mereka. Jika ibu bapa dan masyarakat tidak memainkan peranan mereka, golongan itu tidak akan dapat membezakan tingkah laku betul atau sebaliknya mengikut norma-norma dan budaya masyarakat kita.

Tidak menjadi kesalahan membuat teguran sekiranya berlaku sebarang kekhilafan dan kesilapan. Namun teguran perlu dibuat secara beradab tanpa menimbulkan keaiban orang yang ditegur manakala pihak yang ditegur juga perlu menerima dengan hati terbuka dan berusaha untuk memperbaiki kekhilafan.

Keharmonian sebuah masyarakat tidak akan terbina dalam tempoh sehari dua. Sikap saling menghormati dan menasihati akan membentuk keserasian yang seterusnya membina keharmonian dalam tamadun manusia.

Kesepakatan dan kesedaran terutamanya dalam mendidik anak-anak mengenai etika dan kesopanan dari awal akan membentuk nilai manusia yang lebih baik.

SITI RAHIEL CR

Dengkil, Selangor