Saya telah membawanya ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan. Apabila tiba di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan, isteri saya terus dibawa ke zon merah dengan beberapa doktor dan kakitangan perubatan telah membuat pemeriksaan serta tindakan awal untuk memulihkan isteri saya.

Alhamdulillah dengan tindakan pantas mereka yang bekerja pada hari Ahad itu, keadaan isteri saya kembali stabil. Doktor seterusnya membuat pemeriksaan susulan dan dia telah dimasukkan ke wad enam hospital itu.

Semasa berada di wad tersebut, saya sekali lagi melihat tahap dedikasi serta sikap profesional barisan doktor pakar, doktor dan kakitangan bertugas di wad itu. Mereka membuat pemeriksaan dengan penuh mesra dan tertib serta memberi layanan amat baik kepada para pesakit.

Petugas terbabit memberi penerangan secara bersungguh-sungguh kepada pesakit pelbagai kaum sehingga benar-benar faham tentang penyakit dihidapi.

Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua doktor dan staf Jabatan Kecemasan dan wad enam hospital berkenaan atas layanan dan sikap profesional mereka.

Biarpun keadaan bangunan hospital dan wad berada pada tahap dua bintang namun perkhidmatan diberikan adalah pada tahap lima bintang.

MEJAR (B) MUHAMAD ALI

Taman Banting Baru, Selangor